‘Seperti Datuk Siamang Gagap pertahan Yamtuan Antah, kami pertahan Tuanku Muhriz' - Cicit

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 12:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Seperti Datuk Siamang Gagap pertahan Yamtuan Antah, kami pertahan Tuanku Muhriz' - Cicit
Muhamad Kamel ketika ditemui Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

SEPANG - Semangat perjuangan Datuk Siamang Gagap yang mempertahankan Yamtuan Antah suatu ketika dahulu menjadi inspirasi cicitnya untuk tampil menyatakan pendirian mempertahankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam kemelut berlaku ketika ini.

Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS), Muhamad Kamel Yassin berkata, beliau bersama anak-anak Negeri Sembilan berikrar untuk mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar, adat dan undang-undang yang menjadi asas identiti negeri itu.

Menurutnya, pendirian berkenaan dibuat dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab bagi memastikan adat yang menjadi tulang belakang pembentukan identiti Negeri Sembilan terus dipelihara.

"Seperti Datuk Siamang Gagap mempertahankan Yamtuan Antah, hari ini cicitnya sendiri akan mempertahankan Tuanku Muhriz.

“Kami berikrar tanpa sempadan untuk mempertahankan institusi ini, bermula dari Tampin, Rembau, Jelebu sehingga Seremban,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin

Sebelum itu, Muhamad Kamel turut berkesempatan membaca ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Muhamad Kamel berkata, pihaknya turut menolak sebarang tindakan yang didakwa tidak mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang tubuh berkenaan, terdapat keadaan tertentu yang perlu dipenuhi sebelum seseorang Yang di-Pertuan Besar boleh diturunkan daripada kedudukannya.

“Jadi, kami tampil untuk mempertahankan Tuanku Muhriz kerana kami percaya institusi ini perlu dihormati dan segala kemelut hendaklah diselesaikan mengikut saluran yang sah,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Muhamad Kamel berkata, ratusan penyokong hadir menyatakan sokongan dan menyambut kepulangan Tuanku Muhriz.

Menurutnya, jumlah itu dilihat sebagai permulaan dan pihaknya menjangkakan sokongan lebih besar daripada rakyat Negeri Sembilan selepas ini.

“Ini baru permulaan. Kami akan habis-habis untuk mempertahankan Tuanku Muhriz. Insya-ALLAH, kita akan lihat gelombang yang lebih besar selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan turut dirancang di Masjid Seri Menanti selepas solat Jumaat pada Jumaat dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved