Serai Group dan Lotte Corp bawa masuk restoran terkenal Korea Selatan, Lotteria ke Malaysia

11/08/2025 - 12:20
Salah satu cawangan Lotteria di Myanmar / Gambar - Lotteria Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Serai Group Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Lotte Corp melalui anak syarikatnya, Lotte GRS bagi membawa masuk francais burger terkenal dari Korea Selatan, Lotteria ke pasaran Malaysia.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada aspirasi lebih besar Lotte untuk memperluaskan jenama K-burger di Asia Tenggara dan pasaran global.
Pengarah Urusan Serai Group, Datuk Mohd Najib Abdul Hamid berkata, Kumpulan itu yang terkenal dengan jenama tempatan seperti Serai, Jibby & Co dan Jibby Chow, melihat peluang ini sebagai lebih daripada sekadar pelancaran francais baharu.
“Ia adalah peluang untuk memperkenalkan pengalaman makanan segera yang segar dan dinamik, menggabungkan daya tarikan antarabangsa dengan selera tempatan.
“Kami mahu menyesuaikan kegemaran global ini agar serasi dengan cita rasa masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama yang dimeterai di Menara Ikonik Lotte World Tower, Seoul itu adalah permulaan penting bagi Serai Group, yang kini mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama industri makanan dan minuman (F&B) tempatan.
Di bawah perjanjian tersebut, Serai Group merancang membuka 30 cawangan Lotteria di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun, dengan lokasi pertama dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2025.
Bagaimanapun, Serai Group tidak diberikan hak sub-francais atau operasi di luar negara.
Ditubuhkan pada 1979, Lotteria merupakan antara jenama restoran perkhidmatan segera paling digemari di Korea Selatan.
Selepas kejayaan menembusi pasaran Vietnam, Myanmar, Laos dan Mongolia, jenama ini kini memfokuskan kepada Malaysia dengan komitmen terhadap penyesuaian cita rasa tempatan dan kualiti produk. - DagangNews.com
standard

