Seramai 107 peniaga terima manfaat Dana Usahawan Madani Selangor

LocalBusiness & Finance
5 Jun 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Seramai 107 peniaga terima manfaat Dana Usahawan Madani Selangor

SHAH ALAM, 5 JUN: Seramai 107 usahawan mikro dan kecil menerima manfaat menerusi Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) 2026 membabitkan peruntukan berjumlah RM2 juta.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata DUMS bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, produktiviti dan daya saing perniagaan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

"Program ini bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, produktiviti serta daya saing perniagaan melalui bantuan peralatan dan aset yang bersesuaian dengan keperluan sebenar perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Daerah Hulu Langat merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu 22 usahawan, diikuti Sabak Bernam (16), Klang (15), Gombak (12), Petaling (12), Sepang (8), Hulu Selangor (8), Kuala Langat (7) dan Kuala Selangor (7).

Image from: Seramai 107 peniaga terima manfaat Dana Usahawan Madani Selangor
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi

Tambah Mohd Najwan, DUMS 2026 turut memperkenalkan sistem pemantauan pasca bantuan yang ditaja Yayasan Menteri Besar Selangor bagi membolehkan prestasi perniagaan penerima dipantau secara berkala.

Katanya, sistem berkenaan akan mengukur impak bantuan terhadap peningkatan hasil dan operasi perniagaan selain membantu Kerajaan Negeri merancang program keusahawanan yang lebih berkesan pada masa hadapan.

"Pendekatan ini menjadikan DUMS bukan sekadar program bantuan, tetapi sebuah ekosistem pembangunan usahawan yang menekankan keberhasilan dan pertumbuhan jangka panjang," katanya.

DUMS adalah inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor bagi memperkasa usahawan mikro dan kecil tempatan melalui bantuan peralatan perniagaan serta sokongan pembangunan perniagaan yang lebih tersusun.