
Kekurangan guru terus menjadi masalah yang dihadapi oleh Sarawak.
Seramai 215 Orang Menolak, Sarawak Catat Kekurangan Guru Yang Semakin Meningkat. Jumlah guru yang diperlukan kini mencapai lebih kurang 3,006 orang, dan masalah ini semakin meningkat kerana ramai guru yang akan bersara dalam masa terdekat.
Menurut Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang, beberapa mata pelajaran seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani, Reka Bentuk dan Kemahiran Hidup serta guru prasekolah sedang mengalami kekurangan guru yang kritikal.

Ada dalam kalangan guru yang terpaksa mengajar subjek yang bukan jurusan mereka sekaligus menjadikan guru-guru terbeban.
Menurut laporan daripada Harian Metro, kekurangan guru juga memberikan tekanan tugas kepada guru-guru dalam sekolah, terutamanya guru-guru yang mengajar pelbagai subjek dan melebihi bebanan kerja yang sepatutnya.
Masalah kekurangan guru di tambah pula dengan pengisian data dalam talian yang semakin ramai tetapi keupayaan capaian internet yang lemah terutamanya di kawasan pedalaman. Keadaan ini telah menyebabkan ramai guru memilih untuk bersara awal.
Dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru ini, STU berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan drastik. Salah satu tindakan adalah mengambil anak jati Sarawak sebagai pengajar untuk mengurangkan perpindahan balik guru ke negeri asal mereka.

Masalah kekurangan guru ini terutama berlaku di sekolah luar bandar dan pedalaman.
Isu kekurangan guru merupakan masalah utama dalam sektor pendidikan Sarawak dan menyebabkan negeri ini agak ketinggalan dari segi pendidikan berbanding dengan negeri lain di Malaysia.
Menurut Kullin Djayang, sejak pengambilan 18,702 guru secara one off oleh Menteri Pendidikan terdahulu iaitu Mohd Radzi Md Jidin, hanya sebanyak 2,667 orang guru sahaja yang ditempatkan ke negeri Sarawak, termasuk 215 orang yang menolak atas alasan mereka sendiri. Oleh itu, tindakan perlu diambil dengan segera untuk mengatasi masalah kekurangan guru ini.



