Seramai 268,412 pelajar sekolah seliaan JAIS didedahkan dengan 5 modul pendidikan zakat

25 Aug 2022 • 4:33 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Bagi melahirkan generasi celik zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif memperkenalkan Modul Pendidikan Zakat dalam kalangan pelajar sekolah dibawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sebanyak 70,000 naskah buku modul itu telah dicetak bagi kegunaan 16,956 pelajar sekolah menengah dan 251,456 lagi untuk sekolah rendah.

Menurut beliau, sebanyak RM248,000 telah diperuntukkan untuk melaksanakan modul itu di 553 sekolah di seluruh Selangor sejak Mac lalu.

Ujarnya, antara yang terbabit dalam pelaksanaan modul itu ialah sekolah rendah, Sekolah Menengah Agama (SMA), Maahad Tahfiz Integrasi Selangor, Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan KAFA Integrasi.

“Silibus zakat ini dibangunkan khusus untuk mata pelajaran zakat dalam sistem pendidikan yang merangkumi aspek penilaian peperiksaan di peringkat rendah (Tahun 6) dan (sekolah) menengah membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Dua, Tiga dan Empat (membabitkan modul dua hingga lima).

“Bagi melihat keberkesanan pembelajaran silibus ini, pihak LZS dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam JAIS akan memantau pelaksaan modul ini dari semasa ke semasa,” katanya pada Majlis Pelancaran Modul Zakat Pendidikan Zakat Selangor, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, pagi tadi.

image is not available

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir; Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Setiausaha MAIS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Inisiatif membudayakan zakat melalui pendidikan adalah strategi jangka panjang LZS untuk memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi pengeluar zakat.

image is not available

Mengulas lanjut, Mohd Sabirin berkata, lima modul khusus diperkenalkan dengan satu daripadanya untuk murid Tahun Enam manakala empat modul lagi bagi pelajar sekolah menengah bermula Tingkatan Satu hingga Empat.

Ujarnya kandungan modul berkenaan antaranya membabitkan perkara asas zakat seperti ibadah, pengertian, rukun, jenis, pengurusan zakat di Selangor (kutipan dan agihan), pengiraan, prinsip agihan, pengurusan amil, perundangan dan fatwa.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa LZS telah mula melaksanakan inisiatif memperkenalkan pendidikan zakat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita juga berharap akan mendapat sokongan daripada IPT lain di Selangor khususnya dan Malaysia umumnya untuk memperkenalkan pendidikan zakat ini.

“Pada masa sama, kita juga berharap pendidikan ini dapat dipanjangkan juga hingga ke sekolah dibawah Kementerian Pendidikan agar penyaluran maklumat zakat dapat dipertingkatkan seterusnya menjadi amalan dan membentuk budaya (memberi zakat) kepada generasi akan datang,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok