
KOTA KINABALU: Seramai 320,000 individu di seluruh Sabah telah mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga semalam, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah Muhammad Amri Idris.
Beliau berkata ia merupakan angka yang agak rendah kerana hanya mewakili kira-kira 18 peratus sahaja daripada jumlah yang direkodkan untuk mendaftar dalam PADU, dan antara faktor menyebabkan jumlahnya agak kecil termasuk kurangnya kesedaran orang ramai.
“Kita ada 31 hari untuk mendaftar dalam sistem PADU dan saya meminta sesiapa yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian. Jangan daftar di hari-hari terakhir kerana kita jangkakan pada masa itu talian akan menjadi sibuk dan sukar untuk buat pendaftaran,“ katanya.
Beliau berkata demikian keapda pemberita selepas Forum Isu-isu Semasa Pelaksanaan PADU di Sabah yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penerangan Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Ab Hamid di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Muhammad Amri berkata antara isu utama pelaksanaan PADU di Sabah adalah masalah jaringan internet menyebabkan ramai penduduk di kawasan luar bandar tidak dapat mendaftar PADU, di samping masalah ramai penduduk kampung, khususnya warga emas yang tidak memahami banyak perkara.
Sehubungan itu, Jabatan Perangkaan Sabah telah mengadakan pelbagai program dengan pemimpin tempatan dan Jabatan Penerangan untuk turun ke kampung-kampung untuk melaksanakan pendaftaran PADU, sekali gus memberi penerangan mengenai sistem berkenaan. -Bernama

