Serang Anak Rafizi: Masa Jadi Penentu, Polis Siasat Cecair Misteri Dalam Jarum

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 6:47 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Masa jadi penentu!

Polis kini sedang berusaha mengenal pasti jenis bahan yang disuntik pada tangan kiri anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dalam insiden serangan oleh individu tidak dikenali di pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, mangsa kini berada dalam keadaan stabil di bawah pengawasan hospital.

“Setakat ini kita belum tahu lagi (cecair disuntik), mangsa disuntik pada tangan kiri.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil. Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelbagai aspek oleh Polis Kontinjen Selangor dengan bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, hari ini.

image is not available

Menurutnya, perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini seramai enam individu telah diambil keterangan termasuk mangsa, Rafizi dan isteri,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan anak bekas Menteri Ekonomi itu diserang dua lelaki bermotosikal di kawasan parkir pusat membeli-belah berkenaan.

Rafizi dalam kenyataannya percaya serangan tersebut berkait rapat dengan kelantangannya bersuara serta menganggap ia satu bentuk ugutan terhadap tugasnya sebagai ahli parlimen.

Shazeli berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai dakwaan isteri Rafizi menerima pesanan berbaur ugutan.

“Setakat ini belum terima laporan, dan kita minta laporan rasmi dibuat.
“Suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” ujarnya.

image is not available

Masa Jadi Penentu Cecair Misteri Dalam Jarum

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

“Alhamdulillah kawasan kejadian terdapat banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang memberi sinar dan bantuan terhadap siasatan kita.
“Fokus siasatan meliputi pelbagai sudut, termasuk usaha mengenal pasti motif kejadian serta objek yang digunakan oleh suspek,” katanya lagi.

image is not available

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta hubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533 atau Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman di talian 012-2153239.

Sumber: Malaysiakini (N Faizal Ghazali)