
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja binaan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan, hari ini atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya dalam satu serangan.
Serangan berkenaan mengakibatkan kaki kanan dan tangan kiri mangsa terputus.
Tertuduh, Hamizi Hamzah, 45, didakwa di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Hamizi didakwa menyebabkan kematian Mohd Shuhairi Hasim, 46, di Kampung Kok Bedullah, kira-kira jam 11.20 malam Jumaat lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Siasatan polis mendapati, mangsa yang merupakan seorang pemandu jentolak dan bapa tunggal, meninggal dunia selepas ditetak berkali-kali dengan parang di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Menurut siasatan lagi, kejadian berpunca daripada sengketa lama berkaitan tanah pusaka.
Tertuduh juga dikatakan berang selepas video tidak senonoh yang disunting dan melibatkan anaknya tular di media sosial.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Hamizi turut didakwa atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Kelantan pada Sabtu lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dadah itu, dan mahkamah menetapkan tarikh sama bagi penyerahan laporan patologi dan kimia. - Getaran, 30 Oktober 2025
