
BANDAR GAZA: Persetujuan terhadap pelan damai Gaza belum menjamin berakhirnya konflik apabila serangan berterusan Israel terus menimbulkan persoalan terhadap prospek gencatan senjata kekal di wilayah Palestin itu.
Kebimbangan itu semakin ketara apabila Turkiye dan tujuh negara lain mengecam serangan terbaharu Israel terhadap kemudahan kesihatan, infrastruktur perubatan serta lokasi awam di Gaza, yang disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa selain berisiko menjejaskan usaha melaksanakan fasa kedua pelan damai di bawah pengantaraan Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan bersama kelmarin, menteri-menteri luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berkata, serangan berterusan Israel, termasuk yang mengorbankan orang awam terutama wanita dan kanak-kanak, boleh menggugat usaha mencapai gencatan senjata kekal.
Serangan berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai komitmen Israel terhadap proses perdamaian apabila tindakan ketenteraan masih berlaku ketika usaha diplomatik sedang digerakkan untuk beralih kepada fasa seterusnya pelan berkenaan.
Israel dilaporkan terus melancarkan serangan ke atas Gaza sejak bersetuju dengan gencatan senjata yang diusahakan AS pada Oktober lalu, dengan kira-kira 1,200 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh sembilan bulan berikutnya.
Pegawai kesihatan Palestin berkata ramai mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, manakala Hamas jarang mengumumkan jumlah korbannya.
Perkembangan itu memperlihatkan jurang antara kemajuan diplomatik yang diumumkan dengan realiti di lapangan, apabila usaha mengubah gencatan senjata kepada keamanan berkekalan masih berdepan tindakan ketenteraan termasuk pertikaian mengenai komitmen kedua-dua pihak terhadap pelan damai.
Malah, minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump mendakwa terdapat perkembangan penting dalam pelannya untuk menamatkan perang yang dipersetujui Israel dan Hamas pada tahun lalu dengan dimulakan dengan gencatan senjata.
Trump berkata, Hamas, yang memerintah Gaza selama hampir dua dekad, bersetuju untuk meletakkan senjata.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertegas belum bersedia menerima sepenuhnya pelan damai yang diusahakan sekutunya itu.
Tel Aviv kekal berpegang kepada pendirian itu, meskipun selepas menerima jaminan pengunduran tentera Israel hanya akan dilaksanakan selepas Hamas melucutkan senjata sepenuhnya.
“Kami sedang menelitinya. Mereka menghantar draf kepada kami, tetapi kami tidak bersetuju dengannya. Itu bukan draf kami. Kami sudah mengemukakan ulasan dan pandangan kami,” katanya.
The post Serangan berterusan Israel ancam pelan damai Gaza appeared first on Utusan Malaysia.

