Serangan di Bondi Beach: Dua beranak dikenalpasti dalang serangan

WorldPolitics
15 Dec 2025 • 9:21 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Dua lelaki bersenjata yang terlibat dalam serangan yang mengorbankan 16 orang dalam acara Hanukah Yahudi di Bondi Beach, Sydney, pada Ahad, dikenalpasti sebagai bapa dan anak.

Naveed Akram, 24, telah ditahan di lokasi kejadian tembakan dan dibawa ke hospital, di mana dia dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala bapanya, Sajid Akram, 50, yang merupakan pemilik kedai buah-buahan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Memetik laporan The Sydney Morning Herald, ketika kejadian, dua beranak itu dilaporkan memberitahu keluarga bahawa mereka pergi memancing di pesisir pantai selatan.

ibu Akram, Verena, berkata kali terakhir anaknya bercakap dengan keluarganya ialah pada pagi Ahad, beberapa jam sebelum episod keganasan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan yang lain.

“Dia menelefon saya (pada Ahad) dan memberitahu akan pergi berenang, menyelam skuba, makan dan kemudiannya pada pagi ini akan tinggal di rumah kerana cuaca sangat panas,’’ kata Verena.

Wanita itu tidak dapat mengenal pasti anaknya daripada gambar di lokasi kejadian tembakan, namun dia tidak percaya anaknya boleh terlibat dalam sebarang aktiviti ganas atau ekstremis.

“Dia tidak mempunyai senjata api. Dia pun tidak keluar. Dia tidak bergaul dengan kawan-kawan. Dia tidak minum, tidak merokok, tidak pergi ke tempat-tempat teruk… dia pergi bekerja, dia pulang ke rumah, dia bersenam, dan itu sahaja,” katanya.

“Sesiapa pun pasti menginginkan anak seperti anak saya … dia seorang anak yang baik.”

Akram bekerja sebagai tukang bata namun diberhentikan kerja kira-kira dua bulan lalu apabila syarikatnya muflis dan dilaporkan sedang mencari pekerjaan.

Walaupun dia mempunyai ramai rakan semasa bersekolah menengah di Cabramatta High School, Verena berkata anaknya tidak begitu bersosial.

Akram juga, katanya, tidak kelihatan menghabiskan banyak masa di dalam talian dan gemar memancing, menyelam skuba, berenang serta bersenam.

Dalam pada itu, rakaman di media sosial menunjukkan seorang lelaki, dikenali sebagai Ahmed al Ahmed, 43, dengan beraninya telah bergelut dan merampas senjata ketika penyerang melepaskan tembakan.

Ahmed, dilaporkan mengalami dua kesan tembakan dan kini dirawat di hospital. Dia disifatkan sebagai 'wira' kerana keberaniannya itu berjaya menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun adalah antara yang terkorban manakala individu tertua yang dipercayai maut ialah seorang lelaki berusia 87 tahun.

Sementara dua anggota polis, iaitu seorang konstabel dan seorang konstabel percubaan, mengalami luka tembakan. Kedua-duanya berada dalam keadaan serius tetapi stabil.

Kejadian tembakan itu berlaku kira-kira 6.47 petang waktu tempatan, pada Ahad apabila kedua-dua suspek melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya 1,000 orang, yang berhimpun di pantai berkenaan bagi menyambut hari pertama perayaan Yahudi, "Hanukkah".

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata serangan itu merupakan “kejahatan mutlak” dan Australia akan melakukan apa sahaja yang perlu bagi membanteras anti-Yahudi.

Ia merupakan insiden tembakan paling berdarah di Australia sejak 35 orang terbunuh dalam tragedi Port Arthur di negeri pulau Tasmania pada 1996, yang kemudiannya mendorong perubahan besar terhadap undang-undang pemilikan senjata api di negara itu. - 15 Disember, 2025

The post Serangan di Bondi Beach: Dua beranak dikenalpasti dalang serangan appeared first on Scoop.