Serangan Di Lapangan Terbang Riyadh: Tiada Rakyat Malaysia Cedera Atau Terkorban - Wisma Putra

11 Oct 2026 • 2:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Serangan Di Lapangan Terbang Riyadh: Tiada Rakyat Malaysia Cedera Atau Terkorban - Wisma Putra

KUALA LUMPUR - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban atau cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihak kedutaan sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang terjejas ketika dalam perjalanan, selain menyediakan bantuan konsular sewajarnya.

Kementerian itu turut memantau rapat perkembangan keselamatan susulan serangan berkenaan serta laporan mengenai objek yang dipercayai peluru atau projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.

Menurut kenyataan itu, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi telah mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi, sedang berada di negara berkenaan atau merancang untuk berkunjung ke sana dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka yang bakal melakukan perjalanan dalam masa terdekat turut disaran menyemak status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum bertolak ke lapangan terbang, selain bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Rakyat Malaysia juga digalakkan mendaftar atau mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan urusan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan berkenaan dan menegaskan, tiada alasan yang boleh membenarkan serangan terhadap orang atau infrastruktur awam.

“Saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menegaskan solidariti Malaysia bersama Arab Saudi dan rakyatnya ketika negara itu berdepan situasi yang mencabar.

“Malaysia berdiri teguh bersama Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya pada saat yang genting ini. Kami terus berharap agar diplomasi dan kewarasan dapat mengatasi keadaan sebelum konflik ini merebak dengan lebih meluas,” katanya.

Bagi mendapatkan bantuan konsular segera, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 11 488 7098 atau 00 966 11 488 7100.

Bagi urusan kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi talian 00 966 56 300 6319 atau menghantar e-mel ke mwriyadh@kln.gov.my.

Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi itu dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu. - Getaran, 11 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved