Serangan gajah: Aktiviti menoreh, berkebun dihentikan sementara

LocalEnvironment
21 Mar 2025 • 11:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Serangan terbabit menyebabkan seorang anggota Perhilitan dan penoreh getah mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra. (Gambar kecil: Azmi Muhammad, Mohamad Hafid Rohani)

image is not available
Penduduk di Kampung Laloh, Kuala Krai dinasihatkan agar menghentikan sementara waktu aktiviti menoreh serta berkebun ekoran serangan gajah yang berlaku pada Khamis.

image is not available
Sebelum ini gajah hanya merosakkan tanaman penduduk sahaja, namun tidak sangka sehingga menyerang manusia.

KUALA KRAI - Penduduk di Kampung Laloh di sini dinasihatkan agar menghentikan sementara waktu aktiviti menoreh serta berkebun ekoran serangan gajah yang berlaku pada Khamis.

Serangan terbabit menyebabkan seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penoreh getah mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra.

Penghulu Mukim Kampung Laloh, Azmi Muhammad berkata, walaupun sudah biasa dengan kemunculan 'awang besar' tersebut namun kali ini mereka dikejutkan dengan serangan daripada haiwan liar itu.

**media[3054430]**

"Sebelum ini gajah hanya merosakkan tanaman penduduk sahaja, kami tidak sangka sehingga menyerang manusia.

"Disebabkan kejadian semalam (Khamis) pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya penduduk menghentikan sementara waktu aktiviti menoreh serta berkebun bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani memberitahu pihaknya telah menjalankan operasi tangkapan dan kawalan bagi menjaga keselamatan penduduk.

**media[3054432]**

Menurut beliau, bagaimanapun orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan waspada jika terserempak dengan hidupan liar serta tidak mengambil tindakan sendiri.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan kehidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151 atau laman web www.wildlife.gov.my," katanya.