
KEKEJAMAN rumah tangga yang dialami wanita, Jahidah Nordin, 47, terus meruntun hati warganet. Perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan Rosmaini Abd Raof, 43, hingga wanita itu cedera parah akhirnya mendapat pembelaan apabila mahkamah menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun.
Di Mahkamah Rayuan Putrajaya, panel tiga hakim, dipengerusikan Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan hukuman tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan hukuman maksimum.
Semasa membaca keputusan sebulat suara itu Noorin berkata, selain hukuman penjara bermula Isnin, Rosmaini Abd Raof, 43, selaku perayu, dikehendaki membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, melalui wakil keluarga yang menjaganya.
Difahamkan, sekiranya perayu gagal membayar pampasan berkenaan, dia akan dipenjara selama enam bulan.
Menurutnya, kes ini wajar dikenakan hukuman maksimum sebagaimana diperuntukan undang-undang kerana dapat mencerminkan keseriusan kes selain memenuhi keadilan dan memberi mesej tegas oleh mahkamah kepada masyarakat.
"Hukuman penjara 10 tahun ternyata tidak memadai.
"Ini bukan kes menyebabkan kecederaan parah biasa, sebaliknya fakta kes menunjukkan suatu serangan kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isteri yang mengandung," katanya.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Artikel berkaitan:
- Wanita hamil koma dipukul suami selamat lahirkan bayi lelaki, ramai doakan keajaiban
- Lulus tuntutan fasakh, wanita mangsa dera suami hingga koma, Jahidah Nordin sah bercerai
- Kronologi Jahidah dipukul tika hamil, anak lahir OKU, bekas suami dijel 10 tahun. 'Kami tak maafkan perbuatannya'
Jahidah yang sedang hamil 13 minggu dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Susulan kejadian hitam di sebuah pangsapuri di Larkin itu, Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan mengalami kecederaan parah. Sebahagian tengkorak Jahidah terpaksa dibuang, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak.
Dia juga dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Baru-baru ini polis mengesahkan lelaki berkenaan juga terlibat dalam sebuah kes di Kedah. Suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga mengalami keguguran di Ambangan Heights, Kedah adalah lelaki yang sama dalam kes pukul isteri sehingga koma yang berlaku di Johor pada 2021.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang merupakan seorang penjawat awam berusia 39 tahun cedera pada badan dan lebam pada muka dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan kandungannya yang berusia 12 minggu keguguran.
Lelaki berkenaan juga dipercayai pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan mempunyai 11 anak.






