Serangan Molotov Cocktail Di Sebuah Rumah Di Bintulu, Enam Suspek Ditahan Polis

13 Oct 2024 • 7:11 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Tular rakaman CCTV sekumpulan individu membaling Molotov Cocktail

Serangan Molotov Cocktail Di Sebuah Rumah Di Bintulu, Enam Suspek Ditahan Polis. Dilaporkan, enam individu telah ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kejadian melempar bom Molotov ke dalam rumah seorang ahli perniagaan di Bintulu.

Ketua Polis Bintulu, Supt Nixon Joshua Ali, berkata para suspek ditahan pada jam 4.11 petang, kurang daripada 24 jam selepas rakaman video insiden tersebut tular di media sosial pada 12 Oktober.

image is not available
Serangan Molotov Cocktail Di Sebuah Rumah Di Bintulu, Enam Suspek Ditahan Polis

Polis telah merampas sebuah kenderaan

Menurutnya, pihak polis telah merampas sebuah kenderaan, beberapa telefon bimbit, dan pakaian untuk siasatan lanjut. Kesemua suspek akan direman dan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.

Nixon mengesahkan bahawa klip video berdurasi satu minit dan 33 saat yang beredar di media sosial memang dirakam di Bintulu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga individu berpakaian hitam keluar dari sebuah kenderaan dan membaling sesuatu ke arah sebuah rumah, menyebabkan bunyi kuat dan kebakaran.

image is not available
Sumber foto: The Borneo Post

Lancarkan operasi khas jejak suspek

Bertindak balas terhadap insiden tersebut, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, melancarkan operasi khas untuk menjejaki suspek. Hasil semakan latar belakang mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Nixon menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menggalakkan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Lai Mei Ching, di talian 014-8763824 atau Bilik Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304.

Lagi artikel terkini untuk anda di sini: