Serangan Perisian Tebusan Di Malaysia Meningkat 37 Peratus Pada Tahun 2022 – Palo Alto Networks

TechnologyDigital
22 Mar 2023 • 1:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Palo Alto Networks, sebuah syarikat sekuriti siber yang berpengkalan di Santa Clara, California baru-baru ini telah mengeluarkan sebuah laporan tentang serangan perisian tebusan dan juga peras-ugut secara global.

Laporan tersebut memperlihatkan bahawa serangan perisian tebusan telah meningkat secara keseluruhan, dan untuk Malaysia, jumlah serangan tersebut telah meningkat sebanyak 37 peratus pada tahun 2022 sahaja.

Palo Alto Networks, melalui kumpulan sekuriti Unit 42 mereka telah melaporkan bahawa sepanjang tahun tersebut, sebanyak 11 kes telah dilaporkan yang melibatkan beberapa sektor penting, termasuklah pendidikan dan juga pengilangan dan pembuatan.

Selepas serangan godaman dilakukan, dan data syarikat ataupun institusi telah dikunci, para penggodam ini kemudiannya akan memeras ugut pemilik syarikat, CEO ataupun pelanggan dan memaksa mereka membayar wang tebusan untuk mendapatkan balik data.

image is not available

Di rantau Asia Pasifik, laporan tersebut mengatakan bahawa sebanyak 302 serangan perisian tebusan telah direkodkan, dan ini mencatatkan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tahun sebelum.

Laporan tersebut juga mengetengahkan kumpulan penggodam Lockbit 3.0 dari Rusia sebagai dalang utama kebanyakan serangan-serangan ini, dan ia dilihat bermula sekitar awal 2022, sewaktu permulaan konflik diantara Rusia dan juga Ukraine.

Ia juga dilaporkan bahawa walaupun serangan godaman secara lazimnya hanya menyerang syarikat-syarikat korporat dan kerajaan, terdapat juga kumpulan yang menjadikan hospital, sekolah dan syarikat-syarikat kecil dan memaksa mereka untuk membayar tebusan untuk mendapatkan data mereka kembali.