Serangan udara Israel di Gaza bunuh enam petugas bantuan kemanusiaan

23 May 2025 • 9:55 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

ISTANBUL, 23 MEI: Seramai enam petugas bantuan kemanusiaan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas bandar Deir al-Balah di tengah Gaza, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza yang menuduh Israel menyasarkan usaha penghantaran makanan dan ubat-ubatan.

Mangsa dilaporkan bertanggungjawab mengagihkan bekalan bantuan kemanusiaan dan menjadi sasaran dalam satu serangan udara pada waktu malam, lapor Anadolu Ajansi.

Pihak berkuasa Gaza memaklumkan serangan berlaku ketika lori-lori bantuan cuba menghantar bekalan ke hospital-hospital di kawasan yang dibedil.

Pegawai tempatan berkata tentera Israel secara sengaja menghalang aliran bantuan kemanusiaan dengan menyasarkan petugas serta menggalakkan rompakan terhadap konvoi bantuan, menyebabkan bekalan gagal sampai kepada penduduk yang memerlukan.

Insiden terbaru itu digambarkan sebagai sebahagian daripada pola tindakan yang lebih meluas terhadap usaha perubatan dan bantuan, justeru mereka menyeru badan antarabangsa campur tangan bagi memastikan keselamatan pasukan bantuan di wilayah berkenaan.

Serangan berlaku di tengah-tengah operasi ketenteraan baharu Israel yang bermula pada 18 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Palestin, Hamas, yang berkuat kuasa sejak 19 Jan.

Jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 kini mencecah 53,762 orang, dengan 122,917 lagi cedera.

— BERNAMA-ANADOLU

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved