Serangan Untuk The Vibes & Getaran Sebenarnya Serangan Untuk Semua

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 7:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Serangan Untuk The Vibes & Getaran Sebenarnya Serangan Untuk Semua

Gelombang serangan siber yang berulang kali menimpa portal berita The Vibes bukanlah sekadar isu teknikal yang remeh. Ia sebenarnya merupakan satu bentuk pencerobohan langsung terhadap kebebasan media dan secara tidak langsung, merampas hak setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang telus tanpa sebarang penapisan.

Apabila masyarakat disekat daripada membaca berita atau mengakses ulasan bebas tanpa gangguan, serangan ini secara jelas mencarik nadi Badan Keempat (Fourth Estate) iaitu institusi yang menjadi benteng pertahanan ketelusan, akauntabiliti, dan wacana demokratik. Insiden ini melemahkan salah satu tiang seri demokrasi negara kita, didalangi oleh pihak-pihak yang berniat jahat untuk menutup mulut media daripada melaporkan serta menganalisis isu semasa dengan jujur.

The Vibes telah berdepan dengan siri serangan penafian perkhidmatan (DoS/DDoS) yang berulang.

Pada Jun 2025, laman web ini lumpuh seketika akibat serangan DoS yang membanjiri pelayan dengan trafik palsu, menyebabkannya tidak boleh diakses oleh pembaca biasa.

Pada November 2025, serangan yang lebih agresif melumpuhkan portal ini hampir separuh hari, memaksa pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka dan memperketatkan kubu pertahanan siber mereka.

Terbaharu hari ini, TheVibes.com bersama portal kembarnya, Getaran.my, sekali lagi menjadi mangsa serangan teknikal luar yang melumpuhkan kedua-dua platform selama berjam-jam.

Dari sudut teknikal, ini adalah taktik klasik serangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS). Penggodam membanjiri sasaran dengan jutaan trafik palsu menggunakan rangkaian peranti kompromi (botnet) bagi melumpuhkan jalur lebar dan sumber pelayan. Kesannya? Portal berita menjadi gelap gelita tepat pada waktu liputan bebas paling diperlukan oleh rakyat.

Walaupun serangan bermotifkan politik sebegini lazim berlaku pada musim pilihan raya lalu seperti era PRU14 pada 2018, trend ini sebenarnya semakin jarang menimpa kebanyakan media lain dalam dekad ini. Namun hari ini, The Vibes kekal sebagai antara segelintir portal bebas (mungkin yang paling konsisten) dicserang oleh pihak yang masih misteri.

Harga Sebuah Kebebasan Dan Kemerdekaan

Ditubuhkan oleh Datuk Vinod Sekhar pada tahun 2020, The Vibes membawa misi jelas: membina sebuah portal berita yang bebas daripada kepentingan berkepentingan (vested interests) yang sering mencengkam landskap media arus perdana Malaysia.

Berbeza dengan portal lain yang mungkin dimiliki oleh parti politik, terikat dengan dana badan kawal selia seperti MCMC, atau membawa garis editorial yang berat sebelah, The Vibes mengambil langkah berani untuk berdiri atas kaki sendiri.

Kemerdekaan inilah yang memikat hati pembaca. Malah, jumlah pembaca mereka terus melonjak dari bulan ke bulan, berbeza dengan sesetengah portal konvensional yang berdepan kemerosotan penonton. Serangan yang berlaku jelas bertujuan untuk melumpuhkan suara bebas ini kerana kewujudannya menggugat pihak-pihak tertentu.

Serangan Terhadap Hak Bersuara Dan Demokrasi 

Satu perkara yang pasti: wujud pihak-pihak yang terdesak untuk menghalang The Vibes daripada terus menyampaikan berita telus kepada rakyat Malaysia. Apabila laman web ini sengaja dipadamkan secara maya, ruang maklumat rakyat disempitkan. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ini bukan sekadar isu IT, ini adalah krisis politik dan sivik.

Menyekat hak bilik berita bebas untuk menerbitkan laporan bermakna merampas hak rakyat untuk tahu.

Apabila rakyat Malaysia dinafikan akses kepada berita yang bebas daripada cengkaman politik mahupun komersial, kerosakannya melangkaui batas sebuah laman web. Ia meruntuhkan sistem imbang and tara (checks and balances) yang menjadi nyawa kepada akauntabiliti demokratik.

Pihak The Vibes telah menegaskan pendirian mereka: mereka tidak akan tunduk atau dikunci mulut. Intimidasi sebegini hanya akan meniupkan lagi semangat juang mereka untuk terus melaporkan kebenaran tanpa gentar atau pilih kasih.

Serangan berterusan ini wajar menjadi igauan ngeri buat setiap rakyat Malaysia yang prihatin tentang masa depan kebebasan media. Menyerang pelayan The Vibes bukan sekadar menganiaya sebuah organisasi berita, tetapi ia adalah tikaman terus kepada aliran maklumat terbuka yang menopang demokrasi Malaysia. 

Pendek kata, ia adalah serangan terhadap kita semua. - Getaran, 2 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved