
TANJUNG MALIM – Polis berjaya merampas 1,706 botol minuman keras pelbagai jenama bir, wiski, gin, vodka dan cognac yang dipercayai tidak mempunyai setem cukai kastam bernilai RM70,000.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Khalid Mohamad berkata, kesemua minuman beralkohol itu dirampas di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Slim River di sini pada pukul 3.55 petang menerusi Op Taring Alpha 2 semalam.
“Serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Risik Briged Utara, Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta. Pemeriksaan mendapati sebanyak 1,706 botol minuman keras disimpan dalam premis tersebut disyaki tidak mempunyai setem cukai kastam yang sah,” katanya hari ini.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang merupakan pemilik kediaman ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE
The post Serbu rumah, rampas arak RM70,000 appeared first on Kosmo Online.
