Seremban Engineering raih kontrak RM161.8 juta bina apartmen di Genting Higlands
diyana
27/10/2023 - 18:02
KUALA LUMPUR 27 Okt - Seremban Engineering Berhad telah menerima kontrak bernilai RM161.8 juta melibatkan kerja seni bina apartmen servis di Genting Highlands.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, SEB Construction Sdn Bhd (SEBC) menerima surat anugerah (LOA) daripada IBN Highland Sdn Bhd.
SEBC selaku kontraktor akan menjalankan kerja seni bina bangunan utama, mekanikal dan elektrik, reka bentuk dalaman dan luaran yang berkaitan untuk dua blok apartmen servis 29 tingkat.
Seremban Engineering berkata tempoh penyiapan adalah 12 bulan dari tarikh permulaan, yang dijangka bermula pada 27 Oktober 2023 dan akan siap pada 26 Oktober 2024.
“Kontrak tidak akan memberi kesan ke atas jumlah modal saham terbitan syarikat. Ia dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham Syarikat sepanjang tempoh kontrak.
“Kontrak ini dijangka akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar,” katanya. - DagangNews.com

