SERI: Sokong ibu kembali bekerja tingkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh

27 Jul 2023 • 6:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Inisiatif seperti pembiayaan program sokongan untuk menggalakkan ibu kembali bekerja dan penyediaan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik dapat memainkan peranan memastikan penyertaan penuh wanita dalam pasaran buruh.

Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan walaupun wanita muda memperlihatkan pencapaian luar biasa dalam pendidikan, penglibatan mereka dalam sektor tenaga kerja masih rendah dan tidak seimbang iaitu kira-kira 55.5 peratus berbanding golongan lelaki sebanyak 80.9 peratus.

“Ketidakseimbangan ini bukan hanya menjejaskan pertumbuhan ekonomi, tetapi lebih penting ia juga melemahkan prinsip kesaksamaan. Bagaimanapun, perubahan dasar ekonomi sahaja tidak cukup untuk meningkatkan pembabitan wanita dalam tenaga kerja.

“Inisiatif ini perlu dilengkapkan dengan agenda wanita yang lebih luas dengan meneliti dan menangani jurang sosial dan budaya yang menghalang kemajuan. Penyelesaian ekonomi tidak boleh dibuat dalam keadaan yang terkekang,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat mengumumkan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan sebagai langkah meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata ia sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Ekonomy) dan kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi memudah cara proses pendaftaran taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara. -Bernama