Seru wanita Sabah bangkit menerusi lagu

Music
3 Nov 2023 • 4:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAGU Wanita Adalah Rakyat mengingatkan kita kepada lagu Earth Song dendangan Raja Pop Michael Jackson. Bezanya, Earth Song menceritakan mengenai kemusnahan alam manakala Wanita Adalah Rakyat menyeru wanita Sabah bangkit dan memperjuangkan hak untuk berada dalam bidang politik.

Walaupun mesej berlainan, getaran atau ‘vibe’ kedua-duanya ada persamaan dan dapat dirasakan hingga memberi inspirasi kepada pendengar untuk melakukan sesuatu atau sekurang-kurangnya menyedarkan wanita Sabah akan hak mereka dan pengetahuan mengenai undang-undang.

Lihat sahaja komen dalam MV rasmi ‘Wanita Adalah Rakyat’ di YouTube yang rata-ratanya mengaku meremang bulu roma mendengar kolaborasi lima penyanyi berbakat Sabah dengan lirik penuh bermakna dan melodi yang dinamik.

Tidak keterlaluan melihat projek Datin Fazar Arif ini mengangkat sedikit martabat penulisan lirik yang mana sebelum ini, kebanyakan lagu tentang wanita Sabah adalah mengenai keramaian, kecantikan dan keseronokan. Lirik lagunya tidak klise dengan lirik lagu-lagu Sabah yang lain.

Kolaborasi vokal lima penyanyi serba boleh iaitu Dabra Sia, Vivianne Andrews, Ika Manda, Lil Ella dan Ferona Paimon itu mendapat ulasan yang baik daripada peminat yang rata-rata memuji, terpegun dan merasa diinspirasi dengan lirik, video dan penyampaian mantap lagu itu. DABRA berasa bertuah dapat berkolaborasi dengan semua penggiat seni dalam projek itu. – Foto IG Dabra Sia

“Melihat video ini membuat bulu roma saya meremang. Hak dan perjuangan wanita Sabah perlu diperkasakan,” kata Maria Ajik memberi komen.

“Bagus! Jika mahu menjadi wanita berkerjaya jangan biarkan ‘mindset’ perempuan kerja di dapur sahaja, jaga suami dan anak, tidak payah ambil degree. Kita sebagai wanita mesti bertindak sebab kita juga boleh menjadi pemimpin,” kata penama winterflower4u.

Menurut bekas juara Sugandoi Kaamatan 2019 yang terkenal dengan lagu Hiti No Masoku, projek ini dimulakan oleh Fazar yang bertindak sebagai penerbit eksekutif yang mahukan sebuah lagu yang menyentuh isu wanita sebagai pemimpin dalam arena politik.

“Lagu itu adalah mengenai memperkasakan wanita dan menggalakkan lebih ramai wanita Sabah menjadi pemimpin,” kata Dabra yang bangga terbabit dalam projek ini kerana diminta mencipta melodi lagu itu bersama komposer Phoebe Tsen. Lirik pula hasil nukilan Dabra, Fazar dan Azrin Jonius.

Katanya, projek itu bermula pada April dengan penyanyi yang berbeza namun lagu itu tidak sesuai dengan mesej memperkasa wanita dan maka itu pasukan muzik mereka mula menggubah melodi lain dan memperkenalkan barisan penyanyi yang baru.

“Datin benar-benar mahukan ramai wanita berada dalam bidang politik supaya seperti yang kita ketahui wanita cenderung menjadi mangsa dera. Mangsa dera bergantung kepada undang-undang dan polisi untuk melindungi mereka.

“Baru-baru ini, kerajaan akhirnya meluluskan undang-undang berkaitan dengan gangguan seksual di tempat kerja. Ia mengambil masa untuk diluluskan. Jadi Datin percaya wanita yang berkuasa dalam politik mampu membantu wanita teraniaya,” katanya.

Bagi penyanyi comel ini, lagu ini ‘berterus terang’ yang mahukan wanita dalam mana-mana masyarakat untuk dilayan sama rata dengan kaum lelaki.

Dabra berasa bertuah dapat berkolaborasi dengan semua penggiat seni dalam projek itu walaupun inilah pertama kali dia bekerjasama dengan mereka. Dia menganggap mereka sebagai amat berbakat dan penuh disiplin.

“Tidak sukar bekerja dengan mereka kerana mereka mudah diatur untuk semua berada dalam klip,” katanya mengakui bahawa dia suka meluahkan perasaan dan pengalamannya melalui muzik.

Sebab itulah juga katanya, ramai tahu lagu-lagunya membawa banyak mesej nasihat. “Banyak perkara hitam yang saya alami di zaman kanak-kanak. Kini banyak pengalaman menggembirakan membuatkan saya menghargai pengalaman di masa lalu.”

Mengenai projek di masa depan, Dabra mahu menerbitkan lagu-lagu tema, lagu yang ada elemen memperkasa bukan sahaja membabitkan wanita tetapi isu-isu kemasyarakatan yang lain. Rancangannya untuk tempoh terdekat ini ialah mahu menyiapkan albumnya.

Lahir di Kota Belud 31 tahun yang lalu, berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, nama Dabra Sia menjulang selepas memenangi Sugandoi Kaamatan pada tahun 2019 dengan mempertaruhkan lagi ciptaannya sendiri Hiti No Masoku.

Kini lagu ciptaannya bertajuk Hanya Di Sabah sering berkumandang di radio seluruh Malaysia dan dalam hanya beberap bulan ia sudah menerima lebih sejuta tontonan.

View Original Article