Seruan muafakat Pas-UMNO wajar diperhalusi

PoliticsOpinion
8 May 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seruan muafakat Pas-UMNO wajar diperhalusi
Muafakat Nasional 2018–2020 menunjukkan bahawa kerjasama Pas-UMNO pernah menjadi formula penting dalam menyusun kekuatan politik Melayu-Islam - Gambar kecil (Nur Ayuni)

MINDA Presiden Pas bertarikh 7 Mei oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru UMNO kembali bermuafakat dengan Pas wajar dilihat dalam konteks kebimbangan terhadap kedudukan politik Melayu-Islam selepas PRU15.

Walaupun nada yang digunakan agak keras, khususnya apabila mengumpamakan UMNO sebagai “rumah yang dicabut paku lantai”, inti pati hujah beliau tetap mempunyai asas sejarah dan realiti politik semasa.

Bagi Abdul Hadi, masalah utama UMNO bukan sekadar kekalahan pilihan raya, tetapi cabaran mempertahankan identiti dan arah perjuangan apabila berada dalam landskap politik yang semakin kompleks.

Dalam masa sama, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, yang menyeru agar pertelingkahan sesama Melayu-Islam dihentikan juga wajar diberikan perhatian serius.

Seruan beliau bahawa “cukup kita bertelagah sesama Melayu-Islam” menggambarkan keresahan sebahagian akar umbi yang melihat perpecahan politik Melayu-Islam hari ini semakin memanjangkan konflik dalaman dan melemahkan kekuatan politik orang Melayu sendiri.

Kenyataan beliau bahawa “kita tidak sempurna tetapi kita boleh saling melengkapi” membawa mesej politik yang matang. Dalam politik, tiada parti yang benar-benar sempurna. Pas dan UMNO sendiri pernah melalui pelbagai episod konflik, salah faham dan persaingan sengit.

Namun jika matlamat akhirnya ialah kestabilan politik negara serta pengukuhan agenda Melayu-Islam, maka kedua-dua pihak perlu berjiwa besar untuk bergerak melangkaui luka lama.

Dalam konteks ini, reaksi Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang membangkitkan soal “unsur khianat” sebagai penghalang utama kerjasama semula Pas-UMNO juga perlu difahami secara adil.

Pengalaman selepas Muafakat Nasional sememangnya meninggalkan kesan mendalam kepada sebahagian pimpinan dan akar umbi UMNO. Episod pasca-Sheraton serta hubungan Pas dengan Bersatu turut menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan pemimpin UMNO.

Namun politik tidak boleh terus dibina atas trauma masa lalu. Jika semua pihak terus terperangkap dalam dendam politik berpanjangan, ruang penyatuan tidak akan pernah terbuka. Dalam sejarah politik dunia, banyak gabungan besar lahir semula selepas melalui episod perpecahan dan konflik yang jauh lebih besar.

Atas sebab itu, semua pihak perlu mengakui bahawa masing-masing pernah melakukan kesilapan. Pas tidak boleh menafikan bahawa beberapa keputusan strategiknya sebelum ini menimbulkan keresahan dalam UMNO.

Dalam masa yang sama, UMNO juga perlu mengakui bahawa pendekatan politik yang terlalu keras dan persaingan dalaman kadangkala mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan rakan politik.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kedua-dua parti membina semula kepercayaan politik secara lebih matang dan realistik.

Sejarah membuktikan bahawa kerjasama Pas-UMNO pernah menjadi instrumen penting kestabilan politik Melayu-Islam. Fasa pertama berlaku melalui Kerajaan Campuran Pas-Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional antara 1973 hingga 1977.

Kerjasama tersebut lahir dalam konteks pasca-13 Mei 1969 ketika negara memerlukan konsolidasi politik yang lebih kukuh selepas ketegangan kaum dan krisis nasional.

Ketika itu, Pas di bawah pimpinan Datuk Mohd Asri Muda bekerjasama dengan UMNO yang dipimpin Tun Abdul Razak Hussein demi meredakan perpecahan politik Melayu-Islam. Walaupun kerjasama itu akhirnya berakhir dengan krisis politik di Kelantan, ia tetap membuktikan bahawa Pas dan UMNO pernah bekerjasama dalam kerangka pentadbiran negara.

Fasa kedua yang lebih dekat dengan generasi hari ini ialah Muafakat Nasional selepas PRU14 pada 2018. Kekalahan Barisan Nasional (BN) ketika itu telah mengubah landskap politik negara secara besar-besaran. Pas dan UMNO berjaya membina naratif bahawa penyatuan mereka mampu menjadi asas baharu kepada kestabilan politik Melayu-Islam.

Muafakat Nasional mendapat sambutan besar di peringkat akar umbi kerana ramai melihat kerjasama tersebut sebagai usaha merapatkan kembali perpecahan politik Melayu. Namun kelemahan terbesar Muafakat Nasional ialah struktur kerjasamanya yang terlalu longgar dan terlalu bergantung kepada persefahaman politik semasa tanpa mekanisme institusi yang benar-benar kukuh.

Tiada formula jelas berkaitan pembahagian kerusi, penyelesaian konflik dan hubungan dengan parti ketiga. Akibatnya, apabila tekanan politik meningkat, Muafakat Nasional gagal bertahan walaupun mempunyai sokongan akar umbi yang besar.

Sebab itu, jika Pas dan UMNO benar-benar mahu mempertimbangkan kerjasama semula pada masa depan, pendekatan baharu perlu diwujudkan. Kerjasama tersebut tidak boleh lagi bersifat sentimental atau hanya bergantung kepada slogan “penyatuan ummah”.

Sebaliknya, ia mesti dibina melalui rangka kerjasama yang lebih jelas, tersusun dan mempunyai mekanisme penyelesaian konflik yang konkrit.

Kedua-dua parti perlu mempunyai formula pembahagian kerusi yang dipersetujui lebih awal, garis disiplin politik bersama serta jawatankuasa rundingan tetap bagi mengelakkan percanggahan strategi. Selain itu, kerjasama tersebut juga perlu disokong dengan dokumen dasar bersama dalam isu ekonomi, pendidikan, tadbir urus dan agenda Melayu-Islam supaya rakyat melihat gabungan itu mempunyai hala tuju yang jelas.

Tidak dinafikan, hubungan antara sebahagian pimpinan Pas dan UMNO hari ini masih mempunyai kekangan dan defisit kepercayaan. Faktor sejarah, persaingan politik dan pengalaman lalu menjadikan proses perdamaian bukan sesuatu yang mudah.

Namun dalam politik, hubungan antara parti tidak semestinya bergantung kepada keserasian peribadi semata-mata. Yang lebih penting ialah kemampuan mencari titik persamaan strategik demi kepentingan yang lebih besar.

Selepas PRU15, politik Melayu-Islam berada dalam keadaan lebih berpecah. UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), manakala Pas dan Bersatu membentuk blok Perikatan Nasional (PN). Keadaan ini menyebabkan undi dan pengaruh politik Melayu-Islam terbahagi kepada beberapa kelompok besar.

Dalam masa sama, UMNO juga berdepan cabaran mempertahankan identiti tradisionalnya sebagai parti teras Melayu ketika berada dalam kerajaan campuran pelbagai ideologi. Sebahagian akar umbi melihat UMNO semakin sukar membezakan pendirian politiknya, khususnya dalam isu-isu berkaitan identiti Melayu-Islam.

Selain aspek struktur dan mekanisme politik, satu lagi cabaran besar yang tidak boleh dinafikan ialah hubungan antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti, khususnya melibatkan Abdul Hadi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Realitinya, hubungan politik antara kedua-dua tokoh ini masih dibayangi jurang kepercayaan yang berpunca daripada pengalaman politik lalu, termasuk episod keruntuhan Muafakat Nasional serta perbezaan pendekatan selepas PRU15.

Keadaan ini menyebabkan usaha menghidupkan semula kerjasama Pas-UMNO bukan sekadar bergantung kepada sokongan akar umbi atau kenyataan pemimpin sayap parti, tetapi turut memerlukan kesediaan pimpinan tertinggi untuk membina semula keyakinan dan persefahaman politik antara satu sama lain.

Walaupun kenyataan Akmal memperlihatkan keterbukaan terhadap semangat penyatuan Melayu-Islam, usaha tersebut sukar diterjemahkan secara menyeluruh sekiranya hubungan di peringkat presiden parti masih berada dalam keadaan yang tidak meyakinkan.

Dalam sesebuah parti politik, keputusan strategik akhirnya tetap ditentukan oleh kepimpinan tertinggi. Sebab itu, sebarang usaha memperhalusi semula kerjasama Pas-UMNO memerlukan saluran komunikasi yang lebih baik dan lebih konsisten antara pimpinan utama kedua-dua parti.

Tanpa kesediaan politik di peringkat tertinggi untuk meredakan ketegangan serta membina semula persefahaman, seruan penyatuan berisiko kekal sebagai wacana akar umbi tanpa mampu diterjemahkan kepada bentuk kerjasama politik yang benar-benar stabil dan berfungsi.

Namun begitu, hubungan yang renggang tidak semestinya bermaksud ruang perdamaian sudah tertutup sepenuhnya. Politik sentiasa bersifat dinamik, dan sejarah juga menunjukkan banyak kerjasama besar akhirnya berjaya dibentuk selepas melalui episod perselisihan yang panjang.

Apa yang penting ialah sama ada kedua-dua pihak bersedia meletakkan kepentingan politik Melayu-Islam yang lebih besar mengatasi perbezaan peribadi serta pengalaman politik lalu.

Atas sebab itu, seruan agar Pas dan UMNO kembali mencari titik persefahaman tidak boleh dilihat semata-mata sebagai retorik politik. Ia perlu difahami sebagai usaha untuk menilai semula masa depan politik Melayu-Islam dalam suasana yang semakin mencabar.

Namun penyatuan tidak akan berjaya jika ia hanya dibina atas emosi atau slogan. Ia memerlukan keikhlasan politik, kesediaan mengurus perbezaan dan kematangan untuk menerima bahawa kedua-dua pihak mempunyai kekuatan serta kelemahan masing-masing.

Sejarah 1973–1977 dan Muafakat Nasional 2018–2020 menunjukkan bahawa kerjasama Pas-UMNO pernah menjadi formula penting dalam menyusun kekuatan politik Melayu-Islam. Cabaran hari ini ialah sama ada kedua-dua pihak mempunyai keberanian politik dan kematangan strategik untuk membina semula formula tersebut dalam bentuk yang lebih tersusun, realistik dan tahan krisis.

Apa yang pasti, jika perpecahan terus dipanjangkan tanpa usaha mencari titik persamaan, pihak yang paling rugi akhirnya ialah orang Melayu-Islam sendiri.

*** Dr Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dan kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.