SESB bina rumah BMR berjumlah RM525,000

22 Dec 2023 • 1:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMBUNAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan membina tujuh rumah Bantuan Mesra Rakyat (BMR) berjumlah RM525,000 – atau RM75,000 setiap satu – tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Katanya, rumah-rumah itu terletak di Tambunan, Tuaran, Ranau, Kundasang, Kinabatangan, Tawau dan Kimanis.

“Bagi Tambunan, SESB dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) menjalankan tinjauan ke atas kediaman Puan Ening Dungu yang menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan untuk menerima bantuan ini,” katanya pada majlis perasmian Projek BMR SESB. di pekarangan rumah Ening di Kg Dabata, Selasa.

Beliau berharap kehidupan Ening dan keluarganya lebih selesa berbanding sebelum ini.

SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more Madius berkata SESB dijangka memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam melaksanakan pelbagai tanggungjawab demi kepentingan masyarakat.

Justeru, katanya, bagi menuju ke arah itu, SESB komited untuk menyumbang semula kepada rakyat dan negara melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti CSR, selain tanggungjawab utamanya dalam menyediakan perkhidmatan bekalan elektrik yang berkualiti dan boleh dipercayai.

“Pelaksanaan program CSR di seluruh negeri oleh SESB adalah berdasarkan empat kriteria sasaran iaitu Pendidikan, Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Sukan dan Penjagaan Alam Sekitar.

“Antara program yang dilaksanakan SESB untuk membantu golongan kurang berkemampuan ialah Program Bantuan Ceria ke Sekolah, Skim Pemasangan Pendawaian Elektrik Luar Bandar, projek bantuan masyarakat setempat yang lain dan pelbagai lagi,” katanya.

Katanya, projek BMR ini merupakan program Tanggungjawab Korporat SESB untuk membaiki, membina baharu, membiayai pembelian rumah kediaman untuk golongan yang memerlukan bantuan, termasuk OKU, ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin berstatus Asnaf.

SESB melancarkan projek bantuan perumahan ini pada 2020 untuk membina rumah kediaman baharu bagi golongan memerlukan dan asnaf, dengan tujuan antaranya, bagi menyatakan keprihatinan SESB terhadap golongan yang memerlukan.

Madius berkata, pada masa sama ia turut mengukuhkan kedudukan SESB sebagai syarikat yang bertanggungjawab kepada masyarakat.

“Menjawab saranan kerajaan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti SESB memainkan peranan dalam membantu kerajaan membina infrastruktur asas seperti rumah bagi golongan memerlukan, dan membantu meningkatkan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Beliau memaklumkan kriteria pemilihan rumah penerima adalah tanah milik sendiri dan mendapat kebenaran bertulis daripada tuan tanah, dan benefisiari adalah daripada golongan asnaf memerlukan dan luar bandar.

“Selain itu, rumahnya dalam keadaan usang yang perlu dibina semula untuk didiami dan tidak mendapat bantuan daripada mana-mana syarikat, badan kebajikan mahupun kerajaan,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan merasmikan majlis dan menyerahkan kunci rumah kepada Puan Ening.

Hadir sama Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat SESB, Hajah Khadijah Sutrisnoh, Pegawai Daerah Sobitun Makajil, Pemaju Mukim Lintuhun, Larry Okou, ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan, rakan strategik, ketua masyarakat dan kakitangan SESB.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.