
Kota Kinabalu: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Madius Tangau menyenaraikan lima cabaran utama yang dihadapi syarikat itu, dengan kemampanan kewangan sebagai paling kritikal.
Beliau berkata SESB terlalu bergantung kepada Subsidi Sokongan Tarif (TSS) daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan tarif di bawah kos penjanaan dan penghantaran elektrik.
Pada tahun 2022 sahaja, TSS ini mencecah RM862 juta.
“Ia jumlah yang agak besar, menunjukkan kita perlu mengambil tindakan strategik dengan segera untuk memastikan setiap pelusuk Sabah dibekalkan dengan tenaga elektrik yang konsisten, berkualiti tinggi dan mampan.
SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more “Hari ini, SESB menjual tenaga elektrik pada kadar tarif asas purata 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah daripada purata kos penjanaan iaitu 43.83 sen/kWj.
“Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual.
“Jelas sekali, subsidi bukanlah penyelesaian yang mampan. Tanpa TSS dan sebagai perniagaan, SESB secara teknikalnya tak mampu bayar,” katanya.
Mengenai kemampanan kewangan, Madius berkata adalah penting bagi negeri ini untuk merangka hala tuju yang tepat bagi mengurangkan pergantungan kepada mana-mana pihak, termasuk subsidi Kerajaan.
“Bagi tujuan ini, adalah penting bagi SESB untuk mempunyai kapasiti penjanaan elektrik sendiri, sekurang-kurangnya beban utama atau beban asas yang dijana dan dimiliki oleh SESB sebanyak 700 MW,” katanya.
Madius berkata, cabaran strategik utama adalah dalam memastikan bekalan kuasa yang boleh dipercayai ke semua kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagaimanapun, terdapat daerah penting dari sudut sosioekonomi seperti Ranau dan Telupid yang masih tidak bersambung dengan Grid Sabah.
“Ini memberi implikasi besar kepada pengagihan dan penyediaan tenaga elektrik ke kawasan terbabit. Cabaran ini juga menjadi keutamaan SESB.
“SESB sedang berusaha keras untuk menangani margin rizab yang kini sekitar 12 peratus. Ini tidak mencapai sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, khususnya dalam menetapkan amalan utiliti berhemat.
“Kapasiti rizab terhad menjadikan bekalan kuasa terdedah kepada tekanan atau gangguan bekalan semasa waktu puncak atau gangguan yang tidak dijangka.
“Ini berpotensi mengakibatkan bekalan terputus, yang merupakan keadaan yang sukar dan tidak diingini bagi pengguna. Sebagai entiti utiliti elektrik utama di Sabah, SESB mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti bekalan elektrik pada setiap masa,” tambahnya.
Satu lagi cabaran beliau ialah mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI).
Nilai SAIDI sekarang ini adalah sekitar 274.43 minit berbanding 4,109 minit pada 2005, 424 minit (tahun 2013) dan 302 minit (tahun 2022).
“Banyak kemajuan telah dicapai dari segi nilai SAIDI, tetapi SESB sedang berusaha keras untuk mengurangkannya lagi.
“Bagi menjamin bekalan elektrik yang boleh dipercayai ke semua kawasan dan seluruh Sabah, SESB menyasarkan untuk mengurangkan SAIDI sehingga 100 minit menjelang tahun 2030.
“Jurang antara angka-angka ini memerlukan introspeksi, iaitu bagaimana SESB boleh mengukuhkan kerangka dalaman untuk mengekalkan sumber tenaga yang lancar dan baik.
“Jawapannya terletak pada potensi bekalan tenaga kerja dan sumber yang belum diterokai dalam menjana operasi SESB,” kata Madius.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran buku dwibahasa ‘The SESB Story’ sempena jubli perak ke-25 syarikat itu, sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024 yang diadakan di Hotel Pacific Sutera pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ts Mohd Yaakob Jaafar dan Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat SESB Khadijah Sutrisnoh.
Buku itu, katanya, menonjolkan penubuhan syarikat utiliti itu di bawah Lembaga Elektrik Sabah pada 1957, yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri sebelum diserahkan kepada Persekutuan dan seterusnya kembali kepada penswastaan.
“Walaupun pengurusan sektor elektrik sepatutnya berada dalam senarai persekutuan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, sektor itu kekal di bawah Kerajaan Negeri sehingga 1983.
“Ia berterusan selama 20 tahun. Soalan ini masih tiada jawapan konkrit sehingga kini,” kata Ahli Parlimen Tuaran itu.
Madius berkata 200 salinan buku itu dicetak di mana kebanyakannya akan diserahkan kepada pemimpin, yang beliau harap dapat dijadikan garis panduan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat akan datang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
