Sesma dedahkan pelajar kemahiran urus jenazah

12 Aug 2026 • 11:54 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sesma dedahkan pelajar kemahiran urus jenazah

Menguruskan jenazah bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Disebabkan itu, 122 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kuala Terengganu diberi peluang untuk mempelajari tatacara memandikan, mengkafankan dan menyempurnakan solat jenazah.

Bertempat di Surau Al-Ghazali, Sesma, para peserta kursus pengurusan jenazah diberi pendedahan secara teori dan praktikal sebagai persediaan menguasai ilmu fardu kifayah yang penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Pengetua Sesma, Hayati A. Rahman berkata, kursus berkenaan merupakan program tahunan sekolah yang memberi fokus kepada pelajar tingkatan tiga pada tahun semasa.

Menurutnya, pendedahan itu penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan tuntutan fardu kifayah.

“Pengurusan jenazah adalah ilmu yang sangat penting kerana merupakan tuntutan fardu kifayah dan menjadi tanggungjawab bersama dalam sesebuah masyarakat.

“Jadi, kita mahu pelajar memahami bahawa ilmu ini bukan sekadar dipelajari secara teori, malah mereka perlu mengetahui kaedah dan langkah yang betul supaya boleh membantu apabila diperlukan,” katanya.

Hayati berkata, antara pengisian kursus itu termasuk penerangan mengenai proses memandikan, mengkafan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah mengikut tertib serta tuntutan syarak.

Katanya, para pelajar turut didedahkan mengenai adab ketika berhadapan dengan jenazah termasuk menjaga aurat, maruah dan kehormatan individu yang meninggal dunia.

Image from: Sesma dedahkan pelajar kemahiran urus jenazah
Pelajar Sesma mendengar penerangan mengenai cara memandikan jenazah daripada salah seorang guru.

“Pengurusan jenazah bukan hanya berkaitan kemahiran, tetapi turut menuntut sikap amanah, teliti dan penuh rasa hormat kerana ia adalah penghormatan terakhir kepada seseorang.

“Melalui kursus ini, kita berharap pelajar lebih memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim dan tidak kekok untuk membantu sekiranya berlaku kematian dalam keluarga atau masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sesma, Nurayatul Husna Zabidi berkata, kursus tersebut memberi pengalaman baharu kepadanya kerana sebelum ini, pengetahuan mengenai pengurusan jenazah hanya diperoleh melalui pembelajaran secara teori.

Menurutnya, demonstrasi dan latihan praktikal yang diberikan sepanjang program membantunya memahami setiap proses pengurusan jenazah dengan lebih jelas.

“Selama ini, saya tahu pengurusan jenazah adalah fardu kifayah, tetapi tidak begitu mengetahui secara terperinci langkah yang perlu dilakukan.

“Selepas mengikuti kursus ini, saya lebih faham cara jenazah perlu diuruskan dengan tertib serta adab yang harus dijaga sebagai penghormatan terakhir kepada si mati,” katanya.

Nurayatul Husna berkata, ilmu berkenaan penting kerana boleh dimanfaatkan pada bila-bila masa, khususnya apabila berlaku kematian dalam keluarga atau komuniti setempat.

Katanya, pengalaman itu turut menyedarkannya bahawa golongan muda perlu mempunyai pengetahuan berkaitan fardu kifayah, dan tidak memberi tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata.

“Saya rasa ilmu seperti ini sangat berguna kerana kita tidak tahu bila akan berdepan situasi yang memerlukan kita membantu menguruskan jenazah.

“Walaupun pada awalnya agak kekok, namun selepas belajar secara praktikal, saya rasa lebih yakin dan faham kepentingan ilmu ini,” katanya.

The post Sesma dedahkan pelajar kemahiran urus jenazah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved