
Sajian Istimewa Untuk Juadah Berbuka, Ini Resipi Mudah Sambal Sotong Taucu
Setiap kali tibanya waktu untuk makan, selera selalunya datang dengan pelbagai ‘permintaan’.
Ada hari kita teringin hidangan ringkas, ada masa pula tekak terasa mahu sesuatu yang lebih berperisa dan sedikit pedas.
Lebih-lebih lagi selepas seharian melakukan aktiviti, badan memang perlukan makanan yang bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga mampu menaikkan mood.
Justeru, hari ini SK akan kongsikan resipi sambal sotong taucu yang menyelerakan daripada @Che Sayang Kitchen di TikTok.
Bahan-bahan yang diperlukan
Menurut @Che Sayang Kitchen, untuk menyediakan hidangan ini, sediakan satu kilogram sotong yang telah dibersihkan.
Kisar atau tumbuk halus empat tangkai cili besar merah bersama enam tangkai cili padi, sebiji bawang merah, dua inci halia dan empat ulas bawang putih.
Tambahkan sedikit serbuk kunyit sebagai penambah warna dan aroma.
Seterusnya, sediakan dua sudu taucu, tiga sudu sos tiram, satu sudu pes cili Thai serta kira-kira satu per tiga sudu pes asam jawa untuk memberikan rasa masam yang seimbang.
Akhir sekali, sediakan hirisan bawang Holland dan daun selasih sebagai hiasan atau penambah aroma mengikut citarasa anda.
Cara memasak sotong
Langkah pertama, @Che Sayang Kitchen menasihatkan agar sotong perlu dikeringkan terlebih dahulu bagi mengurangkan kandungan air.
Panaskan kuali tanpa minyak, kemudian masukkan sotong dan masak di atas api sederhana sehingga air daripada sotong keluar.

Setelah sotong mencapai saiz yang dikehendaki, keluarkan air yang terhasil.
Seterusnya, angkat sotong dan pindahkan ke dalam bekas lain untuk diketepikan sementara waktu.
Penyediaan sambal
@Che Sayang Kitchen menjelaskan bahawa untuk satu kilogram sotong, kisarkan tiga hingga empat tangkai cili besar merah bersama enam tangkai cili padi merah.
Jika gemar rasa lebih pedas, jumlah cili padi boleh ditambah mengikut citarasa.

Masukkan juga sebiji bawang merah bersaiz besar, dua inci halia dan empat ulas bawang putih.
Tambahkan sedikit air, kemudian kisar semua bahan sehingga halus menggunakan pengisar.
Panaskan minyak di dalam kuali.
Cara tumis sambal taucu
Setelah sambal siap dikisar, @Che Sayang Kitchen dalam videonya memanaskan minyak di dalam kuali.
Apabila minyak sudah panas, masukkan bahan kisar tadi dan tumis sehingga naik bau.
Masukkan sedikit serbuk kunyit, kemudian teruskan menumis sehingga sambal pecah minyak.
Seterusnya, masukkan dua sudu taucu untuk menambahkan rasa, dan tumis lagi sehingga sambal kembali pecah minyak.

Selepas itu, masukkan tiga sudu sos tiram serta satu sudu pes cili Thai yang boleh didapati di pasar raya, lalu gaulkan sehingga sebati.
Kemudian, masukkan sedikit pes asam jawa untuk memberikan rasa masam yang seimbang dan teruskan menggaul.
Setelah sambal siap dimasak, @Che Sayang Kitchen masukkan sotong yang telah diketepikan tadi.
Sotong tidak perlu dimasak terlalu lama, memadai sekitar satu hingga dua minit sahaja bagi mengekalkan teksturnya yang lembut.
Akhir sekali, masukkan hirisan bawang Holland dan, jika suka, tambahkan daun selasih sebagai hiasan serta penambah aroma.
Baca juga:
