Setahun tragedi UPSI: Jangan sampai kita terlupa

8 Jun 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Setahun tragedi UPSI: Jangan sampai kita terlupa
15 pelajar UPSI terkorban dalam nahas di Gerik tahun lepas.

Setahun sudah berlalu. Bagi keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Gerik, Perak, masa mungkin tidak pernah benar-benar mengubati luka yang ditinggalkan.

Bagi mereka, tarikh itu bukan sekadar catatan dalam kalendar, sebaliknya ia adalah hari yang mengubah kehidupan buat selama-lamanya.

Ada ibu yang masih menunggu suara anak yang tidak akan lagi kedengaran, ada ayah yang masih menyimpan pakaian dan barang peribadi anak tanpa sanggup mengusiknya.

Ada rakan-rakan yang masih dihantui kenangan perjalanan yang sepatutnya membawa mereka pulang, tetapi berakhir dengan tragedi.

Ia diakui salah seorang mangsa terselamat, Abdul Wafiy Kamaruddin, 24, ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Aman Bali di sini, pada Sabtu bahawa tragedi itu merupakan detik hitam yang tidak boleh dilupakan dalam hidupnya.

Persoalannya, adakah kita benar-benar belajar daripada peristiwa berkenaan atau ia semakin tenggelam ditelan masa?

Sebagai seorang anak yang kerap pulang ke kampung halaman di Alor Setar untuk menziarahi mak tercinta, bas sentiasa menjadi pilihan utama penulis.

Dalam keterujaan itu, penulis sering teringat satu perkara iaitu tidak semua penumpang yang menaiki bas akan sampai ke destinasi seperti yang dirancang akibat kejadian tidak diingini.

Itulah hakikat yang ditinggalkan oleh tragedi UPSI apabila siasatan mendapati bas dinaiki tidak dilengkapi tali pinggang keledar penumpang berikutan kenderaan itu dibuat pada 2013, tujuh tahun sebelum peraturan penguatkuasaan pemasangan dilaksanakan.

Bagaimanapun, kini kebanyakan syarikat bas yang digunakan penulis nampak lebih serius dalam memberi peringatan kepada penumpang mengenai pemakaian tali pinggang keledar.

Sebelum perjalanan bermula, ada kru atau pemandu akan mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan tersebut.

Malah, terdapat juga nota dan pelekat khas yang ditampal dalam bas sebagai peringatan bahawa pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian ialah situasi di dalam bas itu sendiri memandangkan hanya sebilangan kecil penumpang yang benar-benar memakai tali pinggang keledar, manakala selebihnya tidak memakainya.

Penulis juga tidak terkecuali, malah ada kalanya penulis terlupa.

Ada kalanya penulis sengaja menangguh untuk memakainya kerana berasa kurang selesa, terutama bagi perjalanan yang mengambil masa berjam-jam.

Tali pinggang itu terasa ketat, pergerakan menjadi sedikit terbatas hingga kadangkala timbul juga perasaan, 'Tak pakai sekejap pun tak mengapa' di fikiran penulis.

Mungkin itulah alasan yang bermain dalam fikiran ramai penumpang lain.

Tapi, penulis akan segera mencapai tali pinggang keledar dan memakainya apabila teringatkan pesanan pemandu bas dan melihat notis pengingatan ditampal dalam bas.

Sejujurnya, terdapat dua sebab mengapa penulis memilih untuk terus memakai tali pinggang keledar walaupun kadangkala berasa kurang selesa.

Pertama, kerana takut nyawa terancam, manakala kedua disebabkan tidak mahu dikenakan denda RM300.

Tetapi apabila difikirkan semula, denda RM300 sebenarnya bukanlah perkara paling menakutkan, sebaliknya yang lebih menakutkan ialah jika kita gagal pulang bertemu orang yang kita sayangi.

Sedangkan tali pinggang keledar hanya memerlukan beberapa saat untuk dipasang.

Setahun tragedi UPSI seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua termasuklah penulis sendiri bahawa setiap peraturan keselamatan diwujudkan kerana nyawa manusia terlalu berharga untuk dipertaruhkan.

Jangan tunggu tragedi lain berlaku untuk kembali mengingatinya.

Al-Fatihah kepada semua mangsa terkorban