Setia menyimpan sejak 1990, pesara kerajaan akhirnya menang RM1 juta BSN SSP

LocalPersonal Finance
20 May 2025 • 4:41 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Setelah lebih tiga dekad konsisten menyimpan dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN), seorang pesara kerajaan akhirnya menerima ganjaran yang cukup luar biasa iaitu RM1 juta menerusi Cabutan Jutawan BSN SSP ke-111.

Azizah Kamarudin, 65, berkata kemenangan tersebut hadir pada waktu yang sangat bermakna memandangkan dia dan suaminya kini sedang merancang untuk menunaikan umrah. Sejak bersara lima tahun lalu, dia tetap meneruskan amalan menyimpan tanpa mengeluarkan sebarang jumlah dari akaun SSP.

Menurut Azizah, amalan menyimpan dalam SSP bermula sejak 1990, selepas diperkenalkan oleh rakan yang memaklumkan tentang peluang cabutan hadiah. Ketika itu, dia hanya membeli sijil bernilai RM10 dengan harapan dapat memenangi hadiah kecil dan tidak menyangka akan menerima rezeki sebesar ini selepas bersara.

Bagi Azizah, kemenangan itu seolah-olah satu rezeki yang datang tepat pada masanya, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang membuat perancangan untuk menunaikan umrah Ramadan pada tahun hadapan. Azizah sebelum ini telah menunaikan haji pada 2008.

Dia yang juga ibu kepada tiga anak mengakui masih terkejut walaupun sudah menerima cek replika kemenangan daripada pihak BSN. Malah, dua hari sebelum dihubungi secara rasmi oleh BSN, dia sempat melihat pengumuman nama pemenang di media sosial bank itu, tetapi menyangka nama itu sekadar kebetulan sama.

Pengesahan rasmi diterimanya pada 5 Mei lalu, semasa sedang dalam perjalanan pulang dari bersarapan bersama suami. Ketika itu, wakil BSN menelefonnya dan mengesahkan kemenangan tersebut.

Penyampaian replika cek RM1 juta disempurnakan oleh Ketua Pengurusan Deposit BSN Negeri Sembilan, Mohd Rozaini Mohd Sani dalam satu majlis ringkas di kediaman pemenang.

Sumber: Harian Metro