Setiap hari bekerja, tapi hidup masih ‘sengsara’

Personal Finance
30 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Setiap hari bekerja, tapi hidup masih ‘sengsara’

RUTIN setiap pagi, jutaan rakyat akan bangun seawal subuh untuk bersiap ke tempat kerja. Ada yang meredah kesesakan jalan raya, menaiki pengangkutan awam atau menempuh perjalanan jauh demi mencari rezeki.

Mereka bekerja dari pagi hingga petang, malah ada yang bekerja lebih masa mendapatkan pendapatan tambahan. Namun, di sebalik penat lelah itu, timbul persoalan iaitu mengapa masih ramai yang merasai ‘kesengsaraan’ meskipun setiap hari bekerja?

Hakikatnya, memiliki pekerjaan tidak semestinya menjamin kehidupan yang selesa. Gaji yang diterima setiap bulan biasanya hanya cukup untuk membayar ansuran rumah, kenderaan, bil utiliti, perbelanjaan dapur dan keperluan persekolahan anak.

Sebaik sahaja semua komitmen diselesaikan, baki wang yang tinggal pula perlu diurus dengan cermat sehingga hujung bulan. Ada keluarga yang terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti atau menikmati hidangan luar kerana merasakan setiap ringgit sangat bermakna.

Lebih menyedihkan, golongan yang bekerja keras ini bukan semuanya hidup bermewah-mewah. Ada yang tidak pernah langsung membeli barangan mahal hanya semata-mata mahu mendahulukan keperluan anak-anak.

Namun, mereka tetap berdepan kesukaran apabila harga barangan, kos pengangkutan dan pelbagai komitmen bulanan mengambil sebahagian besar pendapatan. Dalam keadaan ini, kenaikan gaji yang diterima mungkin tidak membawa kelegaan seperti diharapkan apabila perbelanjaan harian turut meningkat.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila berlaku kecemasan seperti kematian, anak sakit atau kenderaan rosak. Tanpa simpanan yang mencukupi, keluarga terpaksa mencari jalan lain termasuk meminjam wang atau menggunakan kemudahan kredit.

Jika keadaan ini berulang, hutang semakin bertambah dan gaji bulan berikutnya pula sudah terikat dengan komitmen terdahulu.

Situasi ini menyebabkan sesetengah pekerja terus terperangkap dalam tekanan kewangan, walaupun mereka tidak pernah berhenti mencari rezeki.

Justeru, masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan sekadar meminta rakyat berjimat cermat. Memang benar, pengurusan kewangan yang baik penting untuk mengelakkan pembaziran dan mengawal hutang.

Sebaliknya, rakyat juga memerlukan lebih daripada nasihat supaya mengurangkan perbelanjaan. Mereka memerlukan peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan yang adil serta persekitaran ekonomi yang membolehkan hasil titik peluh dinikmati dengan lebih bermakna.

Dalam hal ini, kerajaan perlu terus memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, keberkesanan bantuan bersasar dan usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Bantuan tunai mungkin dapat meringankan tekanan buat sementara waktu, tetapi penyelesaian yang berpanjangan memerlukan usaha meningkatkan pendapatan, mengawal beban perbelanjaan dan memperluas peluang ekonomi.

Diakhirnya, rakyat yang bekerja keras sewajarnya mempunyai peluang untuk keluar daripada kesempitan hidup, bukannya terus bertahan sehingga menunggu gaji dimasukkan ke dalam akaun bank.

The post Setiap hari bekerja, tapi hidup masih ‘sengsara’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved