
Dalam episod Oh! Podcast kali ini, kami menampilkan Encik Safwan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Encik Siraj Jalil bagi membincangkan kepentingan pengguna melaporkan peniaga yang tidak beretika.
Podcast ini sarat dengan perkongsian dan maklumat penting, khususnya buat pengguna yang masih tidak tahu cara atau saluran yang betul untuk mengemukakan aduan. Segala persoalan mengenai proses membuat laporan dan tindakan yang perlu diambil dijelaskan dengan lebih terperinci dalam episod ini.
Antara perkongsian menarik ialah penjelasan Encik Safwan mengenai tindakan yang patut dilakukan sekiranya pengguna berdepan dengan peniaga yang cuba mengambil kesempatan. Pengguna dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi atau terus menularkan isu tersebut di media sosial. Tindakan sedemikian dikhuatiri boleh mengganggu proses dan rantaian siasatan pihak KPDN.
Sebaliknya, pengguna digalakkan untuk kekal tenang, mengumpulkan segala bukti berkaitan dan segera membuat aduan melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa.
Bagi mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan atau scam dalam talian, episod ini turut menerangkan langkah-langkah penting yang perlu diambil. Pengguna juga boleh mengetahui tindakan yang boleh dilakukan bagi membantu membendung masalah penipuan daripada terus berleluasa.
Jangan anggap sesuatu kerugian itu terlalu kecil untuk dilaporkan. Setiap laporan merupakan data penting yang dapat membantu KPDN mengenal pasti corak dan taktik peniaga tidak bertanggungjawab, sekali gus membolehkan tindakan undang-undang yang lebih tegas diambil.
Nak tahu dengan lebih lanjut tentang hak pengguna dan cara membuat aduan yang betul? Saksikan episod penuh Oh! Podcast di saluran YouTube Oh! Media.
The post Setiap Kerugian Perlu Dilaporkan, Jangan Biarkan Peniaga ‘Tekan’ Harga appeared first on Oh! Media.