
JAKARTA: Setiausaha Agung Asean Dr Kao Kim Hourn dan menteri-menteri luar Asean yang menghadiri Forum Serantau Asean (ARF) mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) pada awal Jumaat, menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi mereka menyokong Indonesia selaku Pengerusi Asean tahun ini.
Sekretariat Asean dalam satu kenyataan berkata lawatan itu diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan di Jakarta dari 11-14 Julai.
“Menteri-menteri mengesahkan semula komitmen untuk menyokong Indonesia selaku Pengerusi Asean tahun ini di bawah tema “Asean Matters: Epicentrum of Growth” dengan tujuan untuk mencapai Wawasan Komuniti Asean 2025, serta dalam memuktamadkan wawasan pasca-2025,” menurut kenyataan itu.
Wartawan Bernama di Jakarta melaporkan, Jokowi dalam kunjungan hormat itu mengingatkan bahawa Asean tidak boleh menjadi arena persaingan dan proksi bagi mana-mana negara.
Katanya, undang-undang antarabangsa mesti dihormati secara konsisten agar rantau ini menjadi kawasan yang aman dan stabil.
Jokowi juga yakin bahawa Asean berpotensi menjadi ‘epicentrum of growth’ (pusat pertumbuhan) tetapi memerlukan sokongan negara-negara maju dan sahabat dengan “meninggalkan pendekatan zero-sum dan mengambil pendekatan menang-menang.”
Menurut Sekretariat Asean dalam kenyataan yang sama, terdahulu Dr Kao bertemu dengan Menteri Luar Norway Anniken Huitfeldt di luar acara AMM ke-56.
Kedua-duanya memuji kemajuan mantap dalam pelaksanaan Perkongsian Dialog Sektoral Asean-Norway: Bidang Kerjasama Praktikal (2021-2025) yang menjadi asas kerjasama antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, Pernyataan Bersama AMM ke-56 mengesahkan semula komitmen kumpulan itu untuk mengukuhkan Asean sebagai sebuah organisasi yang teguh dan tangkas serta dilengkapi dengan keupayaan yang diperkukuh dan keberkesanan institusi.
Ini bagi menangani cabaran semasa dan kekal dipercayai serta relevan untuk rakyatnya, rantau ini dan dunia sambil terus berfungsi sebagai pusat pertumbuhan dan kemakmuran serantau.
Mesyuarat itu juga mengesahkan semula komitmen kumpulan itu terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan Wawasan Komuniti Asean 2025, sambil mengesahkan semula komitmen untuk mengukuhkan Komuniti Asean, perpaduan dan kepusatannya.
Malaysia diwakili oleh Menteri Luarnya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada AMM ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan yang dilihat sebagai platform baik untuk Malaysia berkongsi dan bertukar-tukar pandangan dengan negara anggota Asean mengenai isu-isu kepentingan bersama termasuk usaha ke arah pemulihan ekonomi, rantaian bekalan global, keselamatan makanan, perubahan iklim dan peralihan tenaga. -Bernama

