Setiausaha Masjid Didakwa Tonton Video Tak Senonoh Dipecat

LocalPolitics
27 Jan 2026 • 3:47 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menamatkan perkhidmatan seorang setiausaha masjid di Bukit Baru susulan kontroversi tularnya rakaman menonton video lucah di media sosial, baru-baru ini.

Setiausaha masjid dipecat

Menurut laporan BH Online, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU) yang berlangsung pagi tadi.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Malah, setiausaha itu juga telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada JAIM.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu diterima, sekali gus menamatkan jawatan individu tersebut sebagai setiausaha masjid serta pengerusi sebuah surau di Kampung Paya Ikan, kedua-duanya merupakan lantikan di bawah JAIM.

“Mesyuarat JKTU sudah membincangkan perkara ini dan kita mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan beliau berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat JKTU di Bangunan JAIM Bukit Palah, Melaka hari ini.

Artikel lain: Bongkar Tindakan Tak Bermoral Setiausaha, Imam 3 Masjid Al-Ehsan Letak Jawatan

Sementara itu, Rahmad yang juga ADUN Ayer Molek menjelaskan bahawa status imam tiga atau imam rawatib yang terbabit dalam rakaman video itu diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa masjid untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pelantikan imam berkenaan tidak dilakukan oleh JAIM, sebaliknya dibuat sendiri oleh jawatankuasa masjid selain menerima elaun daripada pihak tersebut.

“Oleh itu, jawatankuasa masjid diberi kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan imam itu,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki sedang leka menonton video lucah dipercayai di pejabat sebuah masjid di Bukit Baru, pada 27 Disember lalu.

Sebaik diminta untuk membuka pintu oleh imam, lelaki terbabit nafi melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Sumber: BH Online (Farhana Yaacob)

The post Setiausaha Masjid Didakwa Tonton Video Tak Senonoh Dipecat appeared first on Borak Daily.