
PETALING JAYA – Setinggi mana pun kedudukan seseorang, sikap merendah diri dalam menuntut ilmu serta menghargai pandangan golongan ilmuwan perlu terus dipertahankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan tuan guru bukan sahaja mendalami kitab dan warisan ulama, malah memahami keresahan masyarakat serta cabaran yang dihadapi umat.
“Saya memilih untuk mendengar terlebih dahulu pesan para tuan guru kerana setinggi mana pun kedudukan seseorang, kita tetap perlu merendah diri di hadapan ilmu.
“Kita juga perlu menghargai pandangan mereka yang bukan sahaja mendalami kitab serta warisan ulama, malah memahami keresahan masyarakat dan cabaran umat,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram.
Menurut Anwar, sejarah negara juga tidak dapat dipisahkan daripada peranan institusi pondok dan pesantren yang memelihara iman, mempertahankan ilmu serta mendidik masyarakat ketika tanah air dijajah.
Katanya, jasa golongan tuan guru yang terus mengajar meskipun berdepan pelbagai kekurangan tidak sewajarnya dilupakan.
“Justeru, kita mesti terus mengangkat martabat pendidikan pondok dan mendekatkan generasi muda kepada khazanah ilmu Islam.
“Dunia boleh berubah sepantas mana sekalipun, namun kemajuan hanya membawa kebaikan apabila dipandu oleh iman, akhlak dan rasa tanggungjawab terhadap sesama insan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Islam menuntut umatnya tegas dalam menegakkan keadilan dan menjaga amanah, namun ketegasan perlu sentiasa disertai sifat kasih sayang.
Katanya, ilmu seharusnya menjadikan seseorang lebih jujur, santun ketika berbeza pandangan serta peka terhadap kesusahan orang lain.
Beliau turut mendoakan agar umat Islam terus teguh imannya, luas ilmunya, indah akhlaknya serta sentiasa membawa rahmat kepada seluruh masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Setinggi mana kedudukan, tetap perlu merendah diri di hadapan ilmu – Anwar appeared first on Kosmo Online.






