Sevilla pecat Garcia Pimienta selepas tewas empat kali berturut

Football
13 Apr 2025 • 10:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sevilla mengucapkan terima kasih kepada Garcia Pimienta. Foto Agensi

SEVILLA mengumumkan pemecatan pengendali Los Nervionenses, Javier Garcia Pimienta pada Ahad, hanya dua hari selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada Valencia dalam aksi La Liga.

Kekalahan di Stadium Mestalla menerusi jaringan babak pertama Javi Guerra itu merupakan kekalahan keempat berturut-turut Sevilla dalam saingan liga utama Sepanyol.

Juara tujuh kali Liga Europa itu kini menghuni tangga ke-13 La Liga dengan 36 mata daripada 31 perlawanan, jauh daripada kelompok kelab yang merebut slot ke saingan Eropah, dan hanya tujuh mata mengatasi zon penyingkiran.

"Sevilla merakamkan penghargaan kepada Garcia Pimienta atas kerja keras dan profesionalisme beliau sepanjang beberapa bulan ini.

“Kelab mendoakan yang terbaik buat beliau dalam apa jua usaha masa hadapan," menurut kenyataan rasmi kelab tersebut.

Pengurus berusia 50 tahun itu menyertai Sevilla pada Julai tahun lalu dengan kontrak selama dua tahun, menggantikan Quique Sanchez Flores.

Sebelum ini, Pimienta berjaya membawa Las Palmas meraih promosi ke La Liga pada musim 2022/23, dan membantu kelab itu kekal dalam divisyen utama Sepanyol musim berikutnya.

Sevilla dijadualkan menentang Deportivo Alaves dalam aksi La Liga seterusnya pada 21 April ini.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved