
PUTRAJAYA – Sindiket penipuan dalam talian dilaporkan sanggup berbelanja besar termasuk menyewa banglo dan kondominium mewah di lokasi strategik di Lembah Klang dengan kadar sewaan mencecah RM25,000 sebulan bagi menjalankan aktiviti jenayah itu.
Menerusi serbuan terbaharu Jabatan Imigresen (JIM) pada hari ini dan semalam, agensi itu mendedahkan sindiket terlibat sanggup membayar RM5,000 sebulan bagi unit kondominium dan RM25,000 bagi unit banglo bagi mengelakkan aktiviti mereka daripada dikesan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menyerbu empat unit kondominium dan dua banglo mewah yang dijadikan hab sindiket masing-masing terletak di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dan The Mines, Seri Kembangan, Selangor.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan memilih kediaman mewah ekoran mempunyai kawalan keselamatan tinggi selain menawarkan privasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan orang awam.
“Menerusi dua serbuan itu, sindiket dipercayai telah mengaut hasil kira-kira RM6 juta dalam tempoh dua bulan sebelum kegiatan mereka terbongkar.
“Operasi itu membawa kepada penahanan 64 warga asing terdiri daripada 44 warga China, 19 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, siasatan mendapati, ahli sindiket yang ditempatkan di premis itu menjalankan aktiviti mereka sepenuhnya di dalam kediaman tanpa keluar untuk membeli-belah atau melakukan urusan lain.
Zakaria berkata, segala aktiviti hanya berlaku di dalam kediaman berkenaan dan bekalan makanan pula dibekalkan secara harian atau mingguan.
Menurutnya, pihaknya turut menemukan kemudahan hiburan termasuk karaoke dan minuman beralkohol, selain mengesyaki terdapat aktiviti perjudian dalam talian berdasarkan peralatan ditemukan.
“Berdasarkan rekod transaksi ditemukan dalam komputer sindiket, pihaknya menganggarkan kumpulan berkenaan memperoleh hasil kira-kira RM6 juta sepanjang tempoh dua bulan beroperasi.
“Malah, rekod bagi hari serbuan menunjukkan transaksi melebihi RM60,000 telah direkodkan setakat pemeriksaan dilakukan.
“Kebanyakan transaksi dipercayai menggunakan akaun e-dompet yang didaftarkan di luar negara, termasuk di China dan negara lain,” katanya.
Zakaria berkata, berdasarkan rekod pergerakan, sebahagian besar individu yang ditahan memasuki Malaysia melalui Kemboja, namun mereka dipercayai menggunakan pasport tulen dan memasuki negara ini melalui saluran sah.
“Bagaimanapun, kami mengesyaki sindiket berkenaan menyediakan pasport negara lain yang dipercayai palsu sebagai persediaan untuk melarikan diri sekiranya operasi penguatkuasaan dilakukan.
“Sekiranya mereka mengetahui ada serbuan dan sebagainya, mereka sudah bersedia dengan pasport-pasport negara lain yang kita syaki setakat ini ialah pasport palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sewa banglo RM25,000 sebulan elak dikesan penguat kuasa appeared first on Kosmo Online.


