
PETALING JAYA – Budaya menyewa yang semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda mencerminkan perubahan kepada gaya hidup lebih fleksibel dan cekap dalam mengurus kewangan.
Ketua Jabatan Pengajian Keusahawanan dan Penyelidikan, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Dr. Leylawati Joremi berkata, perkembangan platform digital memudahkan pengguna mendapatkan akses kepada pelbagai barangan termasuk telefon pintar, kamera, pakaian dan peralatan lain pada kos mampu milik.
Menurutnya, kos sara hidup yang kian meningkat juga mendorong sewaan menjadi pilihan yang lebih praktikal, terutama barangan yang hanya digunakan sekali-sekala.
“Kini, budaya menyewa adalah satu fenomena selari dengan konsep ekonomi perkongsian yang semakin berkembang di seluruh dunia.
“Hakikatnya, ia bukan lagi berkisar tentang kemampuan, namun pengguna memilih untuk lebih menilai fungsi, kemudahan, dan kecekapan kos, berbanding pemilikan. Hasilnya, gaya hidup pengguna kini lebih fleksibel dan cekap,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, faktor utama mendorong budaya menyewa adalah peningkatan kos sara hidup serta pendapatan yang masih di peringkat awal kerjaya.
Selain itu, Leylawati berkata pengurusan aliran tunai, kemudahan platform digital, serta perubahan gaya hidup yang lebih mementingkan fleksibiliti juga merupakan faktor lain golongan muda lebih memilih menyewa daripada membeli.
“Budaya menyewa membolehkan pengguna mengurus kewangan dengan lebih berhemah kerana mereka hanya membayar apabila benar-benar memerlukan sesuatu barangan.
“Amalan menyewa membolehkan penggunaan aset dioptimumkan, sekali gus meningkatkan kecekapan ekonomi, mengurangkan pembaziran sumber dan memaksimumkan nilai penggunaan sesuatu aset,” katanya.
Tambah Leylawati, budaya menyewa tidak wajar dianggap semata-mata sebagai petunjuk kelemahan kuasa beli kerana ia juga menunjukkan pengguna semakin rasional dalam menentukan keutamaan perbelanjaan.
Beliau turut menjangkakan konsep akses berbanding pemilikan akan terus berkembang khususnya bagi barangan bernilai tinggi yang hanya diperlukan untuk tempoh tertentu.
Leylawati berkata, pengguna masih perlu membezakan antara barangan yang memberikan manfaat sementara dengan aset strategik seperti rumah dan tanah yang mampu membentuk kekayaan jangka panjang. -KOSMO! ONLINE
The post Sewa lebih praktikal, barang diguna sekali – Pakar appeared first on Kosmo Online.
