
PETALING JAYA – Golongan muda terutama peminat K-Pop sanggup membayar ratusan ringgit untuk menyewa telefon pintar walaupun hanya beberapa jam bagi mendapatkan gambar dan video yang berkualiti.
Situasi itu secara tidak langsung membuka peluang kepada pihak berkaitan untuk menjana pendapatan sampingan mencecah RM4,000 sebulan dengan menawarkan perkhidmatan sewaan telefon pintar.
Artis kesan visual, Hadi Farhan Soetiyono, 35, berkata, dia menawarkan perkhidmatan itu pada Januari 2023 selepas rakaman konsert yang dimuat naik di media sosial mendapat perhatian ramai.
“Idea ini tercetus apabila ramai yang bertanya tentang jenis telefon yang digunakan kerana wajah artis kelihatan jelas dan terang walaupun dirakam pada jarak jauh.
“Ada yang mencadangkan saya supaya menawarkan khidmat sewaan telefon kerana servis ini popular di negara seperti Korea Selatan dan Thailand. Sebagai permulaan saya menawarkan telefon Samsung milik saya untuk disewa bagi kegunaan konsert,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Hadi berkata, selepas tiga tahun menyediakan perkhidmatan itu, dia kini memiliki 10 buah telefon untuk disewa dengan kadar RM130 hingga RM160 sehari bergantung kepada jenis.
Kebanyakan pelanggan berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an khususnya peminat K-Pop.
Hadi turut menerima permintaan daripada penyewa yang berhasrat mahu membawa telefon untuk konsert di luar negara, selain dibuka kepada peminat asing yang mahu menyewa telefon ketika menyertai konsert di Malaysia.
Bagaimanapun setakat ini lelaki itu hanya membenarkan peranti tersebut digunakan untuk tujuan konsert.
“Pendapatan yang saya peroleh boleh mencecah RM4,000 sebulan sekiranya terdapat banyak konsert artis popular. Jika kurang, pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan,” katanya.
Jelas Hadi, permintaan terhadap perkhidmatan itu menunjukkan peningkatan ketara apabila menerima 99 tempahan pada 2024, berbanding 29 tempahan pada 2023. Pada tahun ini setakat Julai lalu pula, dia menerima sebanyak 312 tempahan.
Seorang lagi pengusaha, Nurul Huda Qurratuaini Rasidi, 26, berkata, dia menawarkan perkhidmatan sewaan telefon bagi kegunaan konsert, sesi fotografi, percutian dan urusan kerja sejak Februari 2024.
Eksekutif pentadbiran itu memaklumkan, permintaan terhadap khidmat sewaan telefon meningkat 50 peratus dengan kebanyakan pelanggan menyewa pada hujung minggu.
“Ada pelanggan yang menyewa selama dua minggu untuk dibawa ke luar negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan. Pendapatan kasar yang diperoleh sekitar RM2,000 sebulan,” katanya.
Lebih menarik, Nurul Huda turut menyediakan kemudahan bayaran secara ansuran sebanyak tiga kali sebelum penyewa mengambil telefon.
Seorang pensyarah, Syasya Affandi, 29, pula menawarkan perkhidmatan tersebut pada penghujung 2024 selepas mendapati slot sewaan daripada penyedia lain sering penuh.
Syasya menawarkan sewa serendah RM90 sehari bagi tempahan melebihi tiga hari dan kebanyakan pelanggan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an berbuat demikian untuk kegunaan konsert, selain ke luar negara.
“Pendapatan saya boleh mencecah RM2,000 sebulan sekiranya terdapat permintaan tinggi pada bulan berkenaan,” katanya.
Syasya berkata, perkhidmatan tersebut memberi peluang kepada orang ramai menggunakan telefon pintar berprestasi tinggi tanpa perlu mengeluarkan belanja besar untuk membeli model terkini setiap kali mahu menghadiri konsert atau merakam gambar dan video yang berkualiti tinggi.
The post Sewa telefon RM130 sehari, dapat rakam artis K-Pop appeared first on Kosmo Online.
