sarah26/10/2026 - 11:52 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Empat negeri di bawah SG4 berpotensi meraih pendapatan berkali ganda daripada kekayaan unsur nadir bumi (REE), namun Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa sekadar menggali dan menjual mineral mentah bukanlah jalan terbaik untuk memaksimumkan manfaat ekonomi kepada negeri dan rakyat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang membentuk SG4 memiliki sumber REE yang dikenal pasti antara deposit tertinggi di Malaysia, sekali gus menarik perhatian pihak dalam dan luar negara.
"Persoalannya sekarang bukan sekadar mengeluarkan dan menjual sumber berkenaan untuk menjana pendapatan besar kepada kerajaan negeri, tetapi bagaimana meningkatkan nilai tambahnya supaya pendapatan dapat digandakan," katanya dalam ucaptama yang dibacakan oleh anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 bertemakan Powering SG4's Potential hari ini.
SG4 merupakan kerjasama ekonomi membabitkan empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, yang mempunyai gabungan penduduk sekitar 5.7 juta orang serta keluasan tanah melebihi 38,000 kilometer persegi.
Mahathir menyifatkan SG4 sebagai sleeping giant atau gergasi yang sedang tidur kerana memiliki tanah, tenaga kerja, sumber asli dan infrastruktur yang berpotensi menjadikan gabungan negeri berkenaan sebagai zon ekonomi dan perniagaan yang produktif.
Menurut beliau, setiap negeri kini mula meneroka sumber pertumbuhan baharu, dengan Kedah berusaha menjadi hab pembuatan, Kelantan memperluas pertanian komersial, Terengganu meneroka industri hiliran petroleum bagi mengurangkan kebergantungan kepada royalti, manakala Perlis memberi tumpuan kepada perdagangan rentas sempadan.
Selain itu, SG4 turut meneliti pendekatan pertanian komersial berskala besar melalui penggabungan pengeluaran pekebun kecil di bawah pengurusan profesional, berbanding membiarkan mereka mengusahakan tanah secara berasingan.
Bagaimanapun, Mahathir mengingatkan bahawa kekayaan sumber asli tidak semestinya menjamin kemajuan sekiranya kepimpinan dan penduduk gagal mengubah pendekatan serta memanfaatkan peluang ekonomi yang tersedia.
Beliau menegaskan bahawa SG4 perlu menggembleng sumber, kepakaran dan komitmen rakyat untuk mengejar kemajuan negeri-negeri di Pantai Barat, sambil menghidupkan semula semangat Malaysia Boleh melalui aspirasi SG4 Boleh.- DagangNews.com
