Penduduk di kawasan PKPD boleh mohon keperluan tambahan

5 Apr 2020 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - Penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang memerlukan barangan keperluan tambahan seperti produk basah, lampin pakai buang bayi dan sebagainya boleh membuat pesanan daripada pusat operasi yang diwujudkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, kos barangan tambahan tersebut di tanggung sendiri oleh mereka yang memerlukan.

"Memang kita menghantar produk basah kepada penduduk kerana mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana. Apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh penduduk, mereka boleh mengadu di pusat-pusat yang disediakan.

"Setiap rumah keperluan mereka berbeza-beza. Kita tidak tahu siapa memerlukan lampin pakai buang atau susu bayi, jadi mereka perlu buat aduan kepada pusat ini," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri di sini hari ini.

Menjawab soalan mengenai langkah yang perlu diambil oleh petugas pembersihan, beliau berkata, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan seperti menggunakan topeng muka dan mengenakan sarung tangan.

"Apa sahaja peraturan daripada KKM mesti dipatuhi," katanya.


View Original Article