Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Felda baharu berkuat kuasa 1 Julai 2023 

28 Jun 2023 • 4:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Felda baharu berkuat kuasa 1 Julai 2023

zulfadli

28/06/2023 - 16:25

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2023.

Felda berkata, pihaknya optimis dengan pelantikan Ahmad Shabery dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha transformasi Felda yang telah berjalan selama ini.

Dalam pada itu, Felda turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Felda pada 30 Jun 2023.

"Sepanjang tiga tahun perkhidmatan, Idris telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka Felda.

"Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022.

"Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka," katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah kenyataan itu, Idris juga telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima. - DagangNews.com