
Kota Kinabalu: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa berhubung kenyataannya mengenai prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Bekas Ketua Menteri itu berkata surat berkenaan telah diserahkan kepada peguamnya untuk dijawab dalam tempoh tujuh hari.
“Saya akan memaklumkan dan menjelaskan (sebab di sebalik kenyataan mengenai kes Zara) tidak lama lagi. Tindakan seterusnya saya serahkan kepada peguam dan pasukan undang-undang saya untuk uruskan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Warisan di Kolombong, Rabu.
Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Isnin mengeluarkan arahan itu selepas peguam Datuk Ram Singh membangkitkan perkara tersebut di mahkamah, susulan tayangan rakaman video pendek kenyataan Shafie semasa prosiding.
Rakaman berkenaan, dipercayai dibuat semasa majlis makan malam parti itu di Sandakan, tular di media sosial. Dalam klip itu, Shafie didakwa menyifatkan kematian Zara sebagai “pembunuhan”, yang mendorong peguam mewakili remaja dalam kes tersebut membuat aduan bahawa kenyataan itu boleh dianggap menghina mahkamah.
Peguam Joan Goh, yang bersama Ram mewakili seorang daripada lima remaja dalam inkues berkenaan, berkata arahan itu dibuat di bawah Kaedah 52 Perintah 2(B) Kaedah-Kaedah Mahkamah. Jika penjelasan memuaskan, maka tiada permohonan lanjut untuk mendapatkan kebenaran prosiding menghina mahkamah.
Sementara itu, Shafie turut memaklumkan bahawa Ketua Anak Negeri Kota Kinabalu, Edna Majimbun, menyertai Warisan. Edna ialah anak kepada bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun, yang disifatkannya sebagai salah seorang rakan karibnya.

