Shah Rukh Khan 'Bersuara' Selepas Wujudnya Desakan Untuk Memboikot Filem Terbaharunya, Pathaan 

Movie
17 Dec 2022 • 11:07 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Shah Rukh Khan dalam filem Pathaan . - Gambar dari Instagram Shah Rukh Khan

Awalnya, sewaktu munculnya teaser pertama Pathaan menggandingkan Datuk Shah Rukh Khan dengan Deepika Padukone sebagai teraju utama, kemunculan filem itu cukup hangat diperkatakan. 

Namun, sebaik sahaja produsernya melancarkan lagu Pathaan yang pertama iaitu ‘Besharam Rang’, filem itu telah diserang dengan pelbagai kecaman yang hebat di alam maya. 

Bahkan, kempen kebencian dan usaha untuk memboikot filem itu juga sedang dilaksanakan pihak yang tertentu.  Selepas berdiam diri untuk seketika, akhirnya Shah Rukh bersuara mengenai isu boikot filem Pathaan. 

image is not available

“Naratif kolektif zaman ini dibentuk oleh media sosial. Bertentangan dengan kepercayaan bahawa media sosial akan memberi kesan negatif kepada pawagam, saya percaya pawagam mempunyai peranan yang lebih penting untuk dimainkan sekarang.

“Media sosial sering didorong kesempitan pandangan tertentu yang membataskan sifat manusia kepada dirinya yang mementingkan diri.  

“Saya membaca di suatu tempat bahawa negativiti meningkatkan penggunaan media sosial dan dengan itu berupaya meningkatkan nilai komersialnya juga. Usaha sedemikian melampirkan naratif kolektif, menjadikannya ia pecah belah serta merosakkan,” katanya. 

Shah Rukh berkata demikian sewaktu menghadiri acara Festival Filem Antarabangsa Kolkata Ke-28 (KIFF 28) di Kolkata, semalam. 

image is not available

Bintang Bollywood berusia 57 yang meraih gelaran King Khan ini bagaimanapun kelihatan cukup positif apabila berhadapan dengan kecaman filem Pathaan itu. 

“Kita tidak dapat bertemu untuk seketika waktu, tetapi dunia telah menjadi normal sekarang. Kita semua gembira dan saya yang paling gembira. Saya juga tidak ragu-ragu mengatakan, bahawa tidak kira apa yang dunia lakukan, saya dan anda, dan semua yang positif di dunia ini, masih hidup,” katanya. 

image is not available
Aksi bikini sarong berwarna jingga Deepika Padukone telah mencetuskan kontroversi.

Shah Rukh membuat kenyataan tersebut selepas Menteri Perumahan Madhya Pradesh, Narottam Mishra daripada Parti Bharatiya Janata (BJP),  beberapa hari lalu telah mendakwa salah satu lagu di dalam Pathaan menonjolkan ‘pemikiran tercemar’ dan mengancam untuk menyekat tayangan filem itu di negerinya. 

Semuanya adalah disebabkan pemakaian bikini sarong berwarna jingga Deepika Padukone dalam lagu ‘Besharam Rang’ yang didakwa menyerupai warna saffron yang dianggap suci dalam agama Hindu. – Getaran, 17 Disember 2022