Shahidan pula pelawa MIC, MCA sertai PN

Politics
8 Jul 2023 • 8:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shahidan ketika menyampaikan ceramah pada Program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa pada Jumaat.

KOTA BHARU - Selepas Pesuruh jaya Pas Perak, Razman Zakaria mempelawa MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN), Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut membuat cadangan sama terhadap pemimpin dua parti itu.

Shahidan mengakui MCA dan MIC merupakan dua parti hebat dalam UMNO dan mereka juga boleh memberi sokongan kepada PN.

"Saya cadang kedua-dua pemimpin parti ini menyokong kami dan kita akan menegakkan keadilan bersama," katanya kepada pemberita selepas Program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Razman mempelawa parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC menyertai PN susulan keputusan tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Razman yakin penyertaan MCA dan MIC dalam PN mampu menarik sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus sokongan pengundi kaum masing-masing.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, 'penghijrahan' Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa kepada Pas memberi kesan besar kepada PN.

Menurut beliau, Annuar merupakan satu nama besar dalam UMNO dan mempunyai ramai penyokong.

"Annuar merupakan individu yang ramai penyokong dalam UMNO dan sudah tentu memberi impak positif kepada PN," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan memberitahu, PN Arau akan menghantar jenteranya bagi membantu enam negeri yang menghadapi PRN.

Katanya, seramai 1,000 sukarelawan bekerja keras di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi memastikan kemenangan PN.

"Sebelum ini, mereka sudah bertungkus-lumus di kira-kira 60 PRN dan kini bersedia bertugas di sepuluh DUN pada PRN depan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: