
Powerbank dengan kapasiti besar ialah aksesori wajib di dalam beg kami dalam situasi telefon dan komputer riba perlu dicaj di lokasi luar tanpa palam kuasa. Lazimnya powerbank kapasiti besar ini hanya mempunyai satu port dengan output yang cukup besar bagi mengecas komputer riba. Powerbank Shargeek 300 yang baru diumumkan menawarkan ciri menarik yang membolehkan dua pengecasan dengan output 140W dilakukan serentak.

Secara keseluruhan Shargeek 300 boleh mengecas dengan output 300W. Ia hadir dengan dua port USB-C pengecasan 140W, satu port USB-A 20W dan satu port DC dengan output (25-140W). Terdapat mod kuasa serendah 1W untuk mengecas aksesori seperti jam tangan pintar dan fon telinga bagi mengelakkan kerosakan. Dengan kapasiti 24,000mAh atau 86.4Wh, Shargeek 300 selamat dibawa ke dalam kapal terbang.
Seperti semua powerbank yang pernah mereka pasarkan, Shargeek 300 hadir dengan tubuh lutsinar, lampu LED dan juga skrin LCD yang memaparkan maklumat pengecasan serta kapasiti bateri yang tinggal. Jika ada kekurangan ialah powerbank ini seberat 750gram. Shargeek 300 sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama Kickstarter dengan ia dijual pada harga bermula $149 (~RM 585) sebuah.
