Shell Malaysia jangka alami pertumbuhan dalam segmen pelincir tugas berat premium
zulfadli
24/11/2023 - 11:24
KUALA LUMPUR 24 Nov - Shell menyifatkan kejayaan jenama minyak enjin tugas berat (HDDEO) Shell Rimula tahun lalu di Malaysia sebagai hasil kerjasama yang terjalin sejak sekian lama dengan rakan niaga syarikat tersebut.
Pengurus Besar Shell Lubricants Malaysia dan Singapura, Nyon Kam Yew berkata, pihaknya menghargai semangat yang utuh dan sokongan padu mereka yang telah meletakkan Shell Rimula sebagai HDDEO terlaris di Malaysia serta membolehkan jenama itu kekal di kedudukan tersebut tahun demi tahun.
"Kerjasama erat yang dijalinkan selama ini menjadikan kita kian mantap dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar di peringkat global dan tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 300 tetamu menghadiri Majlis Makan Malam Gala Rimula edisi 2023 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Nyon berkata, Shell yang merupakan pembekal pelincir nombor satu dunia selama 16 tahun berturut-turut juga melihat adanya peluang pertumbuhan dalam segmen HDDEO sintetik premium yang didorong terutamanya permintaan industri pengangkutan yang semakin meningkat terhadap rumusan yang boleh mempertingkatkan kecekapan bahan api dan menghasilkan emisi lebih rendah.
"Kami akan terus meneroka peluang dalam sektor ini. Di ASEAN, 85% kenderaan pengangkutan masih lagi menggunakan diesel walaupun terdapat peralihan di peringkat global ke arah penggunaan BEV atau kenderaan elektrik bateri.
"HDDEO berkualiti tinggi seperti Shell Rimula memainkan peranan penting dalam menyokong operasi kenderaan diesel serta menggerakkan ekonomi, pada masa yang sama mengurangkan jejak karbon industri," katanya.

Sektor pengangkutan merupakan penyumbang utama kepada prestasi Shell Rimula bagi tahun ini. Rangkaian pelincir sintetik premium jenama itu terbukti mampu membantu pemilik flit beroleh keuntungan tanpa mengorbankan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar.
Dalam percubaan sebenar di lapangan yang melibatkan pemilik flit Malaysia di seluruh negara, pelincir sintetik seperti Shell Rimula R4 Plus, Rimula R5 LE dan Rimula R6 LM berupaya memberikan penjimatan kos signifikan menerusi perlindungan enjin unggul daripada kehausan dan keupayaan untuk kekal dalam gred untuk lebih lama.
Ia seterusnya membantu memanjangkan selang penukaran minyak supaya kenderaan boleh beroperasi lebih lama dan jumlah kos pemilikan dapat dikurangkan.
Di samping itu, manfaat penting yang dibawakan penggunaan pelincir berkualiti ialah emisi yang lebih rendah yang membolehkan syarikat-syarikat perniagaan memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka. - DagangNews.com
