Pelakon Sherry Ibrahim tawan Gunung Kinabalu dengan jayanya pada pagi semalam dan dikongsikan di platform media sosialnya.

Sherry Ibrahim tawan Gunung Kinabalu
Kongsi pemilik nama Syarizad Ibrahim,41, dia tiba di puncak Gunung Kinabalu sebelum matahari terbit iaitu sekitar pukul 6 pagi.
Apa yang lebih membuatkan dia terpesona apabila ketibaannya disambut dengan kemunculan pelangi yang indah.
“Syukur Alhamdulillah, Sherry baik-baik saja dan Sherry berjaya. 6 pagi, Gunung Kinabalu 4095.2 meter.
“Sampai ke puncak sebelum matahari terbit dan melihat pelangi yang indah selepas hujan,”kongsinya.

Jumpa kawan baru, tak rasa kaki
Dalam pada itu, Sherry juga berkongsi pengalamannya bertemu dengan rakan-rakan baharu sepanjang pendakian tersebut.
Bukan itu sahaja, dia juga berpendapat pengalaman dua hari satu malam itu telah mengajarnya erti ketabahan dan ketahanan fizikal dan mental.
“Dua hari satu malam. Perjalanan ke puncak ini lebih daripada sekadar pendakian fizikal.
“Ia adalah ujian ketahanan, tekad dan ketabahan, mendorong saya melebihi had saya secara fizikal dan mental.
“Berjumpa dengan kawan-kawan baru yang semuanya kuat dan hebat. Akhirnya, bukan gunung yang kita tawan tetapi diri kita sendiri, sudah tentu dengan kehendak Allah.
“Pertama dan terakhir kali ke Kinabalu. Saya tak rasa kaki saya lagi dalam perjalanan turun, jalan macam ketam!” tulisnya berseloroh.

Sumber: Instagram Sherry Ibrahim
