Shila Amzah tegaskan sekolah patut jadi tempat selamat pelajar, guru – “Jangan politikkan isu ini”

LocalPolitics
15 Oct 2025 • 10:26 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Penyanyi popular, Shila Amzah, tampil mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung isu keselamatan pelajar di sekolah yang semakin meresahkan masyarakat.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah berkata bahawa sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pelajar dan guru, namun kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan sebaliknya.

Dalam hantaran di media sosialnya, dia meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan semasa sambil menegaskan bahawa isu keselamatan pelajar tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya perlu ditangani dengan tindakan segera dan berkesan.

Sekolah patut jadi tempat selamat

image is not available

“Apa yang sedang berlaku kepada anak-anak kita?

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pelajar dan juga guru. Tolong, jangan jadikan perkara ini isu politik tapi mari kita hadapi realitinya.

“Kepada pihak yang bertanggungjawab, tolong lakukan sesuatu! Anak-anak ini adalah masa depan negara kita, dan apa yang sedang berlaku sekarang benar-benar menakutkan.

“Saya mendesak agar tindakan segera diambil demi negara dan masyarakat kita,” katanya dalam satu hantaran di Threads, semalam.

Sekolah patut jadi tempat selamat

image is not available

Sejak kebelakangan ini, tular di media sosial pelbagai isu masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan, termasuk kes buli, gangguan seksual, dan terbaharu insiden pelajar sekolah menengah menikam pelajar lain.

Susulan peningkatan kes seumpama itu, pelbagai pihak tampil menyuarakan kebimbangan, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, yang mendesak agar kuasa merotan murid dikembalikan kepada guru di sekolah.

Langkah itu, katanya, perlu dilihat sebagai satu bentuk pengajaran dan disiplin, bagi mendidik generasi masa kini yang semakin mencabar dan terdedah kepada pengaruh luar.

Sumber: Threads @Shila Amzah