Shila Amzah, Ubai Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz, Dinikahkan Oleh ND Lala

5 Aug 2023 • 12:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kedua mempelai mengharapkan mereka saling berkasih sayang hingga ke jannah - gambar Helmi Anuar

Penyanyi  popular , Shila Amzah selamat diijabkabulkan dengan pempengaruh media sosial, Ubai pada jam 10.28  pagi tadi dalam majlis yang berlangsung di Boathouse, Ampang. 

Pasangan sama cantik sama padan ini telah  dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk ND Lala bersaksikan jurunikah, Ustaz Haji Mohamad Khairi Hussein. 

Shila atau nama sebenarnya  Nurshahila Amir Hamzah, 33, telah  menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 daripada Ubai manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

image is not available
Akad nikah dijalankan bapa pengantin perempuan, ND Lala - gambar Helmi Anuar

Shila sewaktu ditemui pihak media berkata, dia bersyukur dan gembira apabila kini telah bertukar status daripada menjadi tunangan orang, kepada isteri yang sah. 

"Alhamdulillah  syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah swt. Inshaallah. 

"Harapan saya semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling sayang menyayangi hingga ke jannah. Mudah mudahan. 

"Apa yang penting sekarang ini adalah kami dapat menjaga anak (Seth Uwais) dengan penuh kasih sayang," katanya. 

Sementara itu, Ubai atau nama sebenarnya  Muhammad Ubaidillah Mohd Zukkefli, 25, berkata dia sebak mengenangkan arwah ibunya yang telah meninggal dunia beberapa hari lalu. 

image is not available
Ubai mahu menjadi suami terbaik untuk Shila dan bapa terbaik buat Sith - Helmi Anuar

"Saya sedih kerana tekenangkan arwah ibu. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa. 

"Inshallah  saya akan cuba menjadi suami dan bapa yang terbaik kepada Shila dan Seth.

"Doakan semoga ikatan perkahwinan kami terus mekar dan kekal sehingga akhii hayat," katanya.

Ditanya mengenai lokasi bulan madu, kata Ubai mereka belum mempunyai  sebarang perancangan memandangkan keduanya sibuk dengan kerja masing-masing.

image is not available
Kedua mempelai masih belum membuat perancangan untuk berbulan madu - gambar Helmi Anuar

"Disebabkan kekangan kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu. Namun mungkin akan ada percutian pendek di dalam negara terlebih dahulu," ujarnya. 

Majlis yang bertemakan warna putih ini turut dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak serta  rakan selebriti seperti Marsha, Zara Zya, Fara Fauzana, Jihan Muse dan ramai lagi.

Majlis resepsi pula akan dilangsungkan pada sebelah malam. Selamat pengantin baru diucapkan kepada Shila dan Ubai. Semoga berkekalan hingga ke syurga. - Getaran, 5 Ogos 2023.