Shopee Malaysia perkukuh usaha banteras penipuan

Business & Finance
17 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Shopee Malaysia perkukuh usaha banteras penipuan

Mukadimah

DALAM era ekonomi digital yang semakin berkembang pesat, e-dagang menjadi antara saluran utama dalam aktiviti pembelian pengguna di Malaysia. 

Namun di sebalik kemudahan yang ditawarkan, kebimbangan terhadap peningkatan penipuan pembelian dalam talian semakin ketara, meskipun tahap kesedaran digital dalam kalangan pengguna terus meningkat.  

Menurut laporan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, kes penipuan e-dagang mencatatkan peningkatan sebanyak 92 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026. 

Perkembangan ini menunjukkan penipuan dalam talian masih menjadi ancaman serius yang memberi kesan bukan sahaja kepada pengguna, malah turut mencabar keyakinan terhadap keseluruhan ekosistem e-dagang negara. 

Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO menemubual Ketua Hal Ehwal Awam Dan Luaran, Shopee Malaysia, NIK EMIR DIN bagi mengupas isu penting ini. 

 

UTUSAN: Shopee, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini melancarkan kempen Jom Beli Selamat. Mengapa inisiatif ini penting? 

NIK EMIR: Pada asasnya, e-dagang dibina berteraskan kepercayaan. Apabila semakin ramai rakyat Malaysia membeli-belah, berniaga dan mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian, usaha mengekalkan kepercayaan itu memerlukan kerjasama seluruh ekosistem daripada platform digital, agensi kerajaan dan penguat kuasa sehinggalah kepada penjual dan pengguna. 

Atas sebab itulah Shopee bekerjasama dengan KPDN dan PDRM melancarkan kempen Jom Beli Selamat. 

Kempen ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian, di samping melengkapkan pengguna dengan pengetahuan praktikal bagi melindungi diri mereka.

Kerjasama ini juga memperkukuh kredibiliti dan memperluaskan capaian kempen ini, sekali gus memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat, terkini, dan daripada sumber yang boleh dipercayai. 

Melalui kerjasama ini, rakyat Malaysia boleh mengakses pelbagai sumber maklumat menerusi laman mikro pendidikan yang menyediakan maklumat mengenai taktik penipuan yang lazim digunakan, langkah pencegahan, saluran pelaporan komuniti serta akses terus kepada saluran bantuan yang dipercayai seperti NSRC, SEMAKMULE, CCID Infoline dan saluran sokongan rasmi Shopee. 

Jom Beli Selamat melengkapkan langkah-langkah perlindungan yang sedia terbina dalam platform kami serta mengukuhkan komitmen berterusan kami untuk membina ekosistem e-dagang yang selamat dan dipercayai. 

 

Mengapa kes penipuan pembelian masih terus meningkat walaupun kesedaran pengguna semakin tinggi?

Penting untuk kita fahami bahawa pelaku jenayah siber dan taktik penipuan sentiasa menjadi cabaran yang berterusan, sama ada di luar talian mahupun dalam talian. Isu ini bukan hanya berlaku di platform e-dagang. 

Apabila pengguna menjadi lebih berwaspada dan platform terus memperkukuh langkah keselamatan, penipu juga sentiasa mengubah taktik mereka. 

Cara paling mudah bagi mereka memperdaya mangsa adalah dengan menghapuskan perlindungan keselamatan yang tersedia, contohnya dengan memujuk pengguna untuk  meneruskan perbualan atau membuat pembayaran di luar platform yang dipercayai. 

Disebabkan ancaman ini sentiasa wujud, perlindungan pengguna sentiasa menjadi keutamaan Shopee sejak hari pertama kami beroperasi. 

Kami terus memperkukuh keupayaan pengesanan dengan menggabungkan sistem yang disokong AI bersama pasukan moderator khusus bagi mengenal pasti penyenaraian dan tingkah laku yang mencurigakan. 

Semua penjual baharu juga diwajibkan melengkapkan proses pengesahan Know Your Customer (KYC) sebelum dibenarkan mula berniaga, manakala pasukan khas kami akan menyiasat laporan yang diterima dan mengambil tindakan terhadap akaun atau penyenaraian yang melanggar dasar platform. 

Pada masa yang sama, kami percaya bahawa pengguna yang mempunyai pengetahuan adalah antara benteng pertahanan paling kukuh dalam menangani penipuan.

Sebab itu kami terus melabur dalam pendidikan pengguna menerusi peringatan dalam aplikasi, Help Centre, Seller Education Hub, Shopee University, kandungan di media sosial serta inisiatif seperti Jom Beli Selamat bagi membekalkan pengguna dengan pengetahuan praktikal untuk membeli-belah secara selamat. 

 

Apakah risiko sekiranya pengguna berurus niaga di luar platform yang dipercayai dan saluran pembayaran yang selamat? 

Antara taktik yang paling kerap digunakan oleh penipu ialah memujuk pengguna supaya meneruskan perbualan atau membuat pembayaran di luar platform yang dipercayai. 

Penipu bersungguh-sungguh menggalakkan perkara ini kerana mereka tahu pembeli dan penjual menjadi jauh lebih terdedah apabila perlindungan keselamatan yang terbina dalam platform tidak lagi digunakan. 

Situasi ini boleh berlaku melalui media sosial, aplikasi pesanan atau panggilan telefon sebelum pengguna akhirnya diminta membuat pembayaran terus ke akaun individu atau meneruskan urus niaga di luar platform. 

Apabila pengguna berurusan di luar platform, mereka kehilangan perlindungan seperti pembayaran selamat, perlindungan pembeli dan saluran penyelesaian pertikaian.

Shopee Guarantee yang kini sebahagian daripada Program Pemulangan (Returns Program) memastikan bayaran hanya dilepaskan kepada penjual selepas pembeli mengesahkan pesanan diterima dalam keadaan baik. 

Bagi pesanan layak, pembeli turut boleh memohon pemulangan atau bayaran balik menerusi platform, sekali gus mewujudkan pengalaman pembelian lebih selamat dan dipercayai.

 

Apakah tabiat mudah yang boleh diamalkan rakyat Malaysia untuk membeli-belah dalam talian dengan lebih selamat? 

Antara langkah paling mudah untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan ialah berhenti seketika dan berfikir sebelum mengambil sebarang tindakan, terutamanya apabila anda didesak supaya bertindak segera atau diminta meneruskan perbualan di luar platform yang dipercayai. 

Di Shopee, kepercayaan bermula dengan perlindungan yang telah dibina dalam platform, termasuk proses pengesahan penjual, pemantauan berterusan serta pelbagai ciri yang membantu pembeli membuat keputusan pembelian dengan lebih yakin.

Pembeli juga boleh melindungi diri dengan memanfaatkan maklumat dan ciri yang tersedia di platform. Ini termasuk menyemak penilaian penjual dan ulasan pelanggan, meneliti maklumat produk dengan teliti serta membeli daripada Shopee Mall untuk produk tulen atau Preferred Sellers yang mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti baik.

Menyelesaikan pembelian dalam platform Shopee juga memastikan urusniaga terus dilindungi. – UTUSAN

The post Shopee Malaysia perkukuh usaha banteras penipuan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved