
PELAWAK dan usahawan, Shuib Sepahtu berkongsi momen menyentuh hati apabila menerima duit raya daripada anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad meluahkan rasa terharu kerana itu merupakan kali pertama anak keduanya berusia 13 tahun itu memberi duit raya kepada ahli keluarga.
“Ibu @sitisarahraissuddin, anak perempuan you bagi I duit raya untuk pertama kalinya.
"Umur dia baru 13 tapi dah boleh bagi duit raya dekat family dia, such a good heart, macam you!” tulisnya.

Dalam masa sama, Shuib turut menzahirkan rasa syukur selain memuji didikan isterinya, Watie Hanifiah, yang disifatkan berjaya mendidik anak-anak memahami erti rezeki dan berkongsi.
“Ini semua hasil didikan mummy @iamwatie juga, pandai didik anak-anak tentang rezeki. Alhamdulillah, syukur Ya ALLAH,” kongsinya lagi.
Perkongsian tersebut bukan sahaja meraih perhatian, malah ramai pengikut turut tersentuh melihat sikap pemurah peserta Talk To My Manager itu pada usia yang masih muda.
Sekadar info, Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 15, Dzahira Talita Zahra, 13, Ariq Matin, 10, Ayash Affan, 5.
Siti Sarah meninggal dunia pada 21 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Shuib kemudian berkahwin dengan Watie pada 23 Jun 2023.


